IPOH: Walaupun beberapa kali diminta oleh mangsa terselamat dalam kemalangan bas dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) agar pemandu memperlahankan kenderaan, namun dikatakan rayuannya tidak diendahkan.
Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang melawat Lili Suzana Mat Yaakob, 23, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.
Selain Lili Suzana, seorang lagi pelajar, Nor Erika Elysha Mohd Zaidi turut menerima rawatan di hospital yang sama.
Menurut Noraini, Lili Suzana telah mengejutkannya untuk memberi amaran bahawa bas dipandu terlalu laju.
“Dia (Lili Suzana) berkata pemandu memandu laju dan dia telah menegur pemandu berkali-kali supaya tidak memandu dengan laju.
“Dia masih trauma. Dalam situasi sebegitu, sesiapa pun pasti akan trauma, apatah lagi apabila kenderaan terbalik.
“Kita dapat lihat kesan trauma itu dengan jelas, jadi kita tawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa dan juga ahli keluarga mereka,” kata Noraini kepada pemberita ketika ditemui di HRPB.
Noraini berkata kementeriannya telah menyalurkan bantuan segera dan perkhidmatan kaunseling kepada semua yang terkesan akibat tragedi itu.
“Kita minta pelajar jangan risau kerana pihak UPSI, hospital, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa ada untuk membantu,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua pelajar itu kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan rawatan lanjut di hospital.
“Salah seorang daripada mereka (Nor Erika Elysha) masih menerima ubat dan belum sedar sepenuhnya, manakala seorang lagi (Lili Suzana) boleh bercakap dengan kita dan kelihatan stabil,” katanya.
Noraini turut menzahirkan harapan agar kedua-dua pelajar itu segera pulih dan kembali menyambung pelajaran.
“Apa yang penting adalah mereka kembali bersemangat dan meneruskan pengajian. Kita doakan agar mereka segera sembuh,” katanya.
Keluarga yang naik Alza juga akan dibantu
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kebajikan keluarga yang menaiki Perodua Alza dan turut terbabit dalam kemalangan serta sedang dirawat di Hospital Baling, Noraini berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menghubungi mereka.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah nanti pegawai JKM akan melawat mereka dan jika ada keperluan, bantuan akan disalurkan,” katanya.
Semalam, seramai 15 pelajar UPSI terkorban dalam kemalangan di KM53 Jalan Raya Timur-Barat awal pagi semalam.
Bas berkenaan dalam perjalanan dari Jerteh ke kampus utama universiti di Tanjung Malim.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bercakap pada media selepas melawat mangsa kemalangan pelajar Universiti Sultan Pendidikan Idris di Gerik, di pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini. – Foto BERNAMA
Kredit : Berita Harian