KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 31, memohon maaf jika ada pihak kurang senang dengan kandungan dimuat naik dalam media sosial yang memaparkan dirinya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bella atau nama sebenar, Dayang Ara Nabella Awang Astillah berkata, hantaran video yang dimuat naik di laman sosial dibuat atas tuntutan dan komitmen kerja.
“Kepada semua yang mungkin selalu nampak kami bersama, saya faham mungkin ada yang kurang senang. Namun, sebenarnya semua itu adalah kolaborasi yang kami kena selesaikan.
“Macam klien sudah tolong kita seperti beri bantuan ke Sabah dan Muar, jadi, kita kena beri kembali. Seperti, kami buat ‘live’ bersama. Tapi kalau ada lebih daripada kerja, doa yang baik-baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu duet terbaharunya bersama Ade Govinda berjudul Lebih Indah Berpisah di sebuah hotel di sini, hari ini.
Ditanya apakah kemesraan bersama Syed Saddiq yang dipaparkan sekadar lakonan, Bella berkata, reaksi yang ditonjolkan semuanya berlaku secara spontan.
“Syed Saddiq bukanlah pelakon, jadi, semua itu spontan. Kita cuma memang buat ‘job scope’ yang diberikan. Contoh, bulan ini kita kena buat empat ‘posting’ jadi kita memang fokus untuk ‘posting’. Tetapi, kita tidak pernah ditekankan untuk buat lakonan atau sebagainya,” katanya.
Bella masih memberi jawapan sama apabila diminta mengulas mengenai hubungannya bersama Syed Saddiq.
“Apabila saya hendak ulas soal perhubungan ni, saya pun sebenarnya segan. Saya seorang wanita. Bukan sahaja wanita, saya sudah ada dua anak. Hendak cakap pun kurang sopan dan kurang manis untuk diri saya sendiri. Apa yang saya boleh cakap, sebenarnya adalah doa yang baik-baik.
“Saya tahu, perkar a ini klise tetapi itu adalah yang terbaik. Doa yang baik-baik. Saya sangat bersyukur dan terima dengan hati yang terbuka. Kalau hendak cakap soal perancangan masa akan datang, ada banyak perkara yang kena jaga seperti keluarga dan kerjaya. Kami masing-masing ada keluarga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, selepas kejayaan single terdahulu iaitu Tapi Bukan Denganmu, Bella kembali dengan Lebih Indah Berpisah, iaitu projek kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade.
Bella berkata, Lebih Indah Berpisah adalah karya yang sangat istimewa buat dirinya.
“Lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade. Single ini menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan,” katanya.
Kredit : Berita Harian