Tambah jajaran rel alternatif kurangkan nahas jalan raya

KEMALANGAN membabitkan bas di Jalan Raya Timur-Barat awal pagi Isnin lalu yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah tragedi sering berulang.

Nahas berkenaan membabitkan ramai penumpang. Dalam beberapa kes sebelum ini, pelancong, pengguna biasa sehinggalah pelajar sering menjadi mangsa.

Malangnya, selepas nahas berlaku, semua yang terbabit hanya menanti keputusan siasatan selalunya sama ada berlaku disebabkan kekhilafan manusia, jalan rosak ataupun kerosakan bahagian kenderaan.

Tiada penyelesaian jangka panjang dalam nahas seumpama ini. Sebaliknya apa yang berlaku adalah kerugian jiwa, wang dan masa. Dalam nahas itu, negara kehilangan jiwa muda yang berpotensi menjadi pendidik berkaliber pada masa hadapan.

Namun, takdir Allah adalah sebaik-baik perancangan, justeru kita tidak boleh membiarkan ia berulang lagi. Nahas itu perlu menyedarkan kita betapa satu penyelesaian lebih baik amat diperlukan mulai sekarang.

Antara perkara harus dinilai ialah negara perlu melabur ke arah penggunaan rel kereta api untuk mengangkut penumpang dan barang bagi jarak jauh.

Rangkaian kereta api yang ada sekarang masih belum mampu memenuhi kriteria menjadi pilihan utama pengguna dalam sistem pengangkutan darat.

Jajarannya tidak cukup untuk merangkumi keseluruhan bandar utama negara. Ia perlu diperbaiki dan diperluaskan, malah disusun secara strategik untuk merangkumi pelbagai bandar raya, bandar, pekan dan pelbagai lagi.

Penggunaan lebuh raya semakin mencabar dengan lebih banyak kenderaan bertambah di atas jalan setiap tahun. Sekitar 800,000 kenderaan baharu didaftar setiap tahun di Malaysia.

Malah, kita kini menjadi pasaran kereta paling besar di Asia Tenggara walaupun hanya mempunyai 34 juta penduduk. Sekiranya kita memandu di Lebuhraya Utara Selatan setiap malam, pasti akan melihat deretan lori treler mengangkut barang ke setiap penjuru dan pelosok negara.

Kemalangan pula sering berlaku antara kenderaan ini, terutama pada waktu puncak seperti cuti perayaan. Permukaan jalan pula cepat rosak akibat kekerapan kenderaan berat melaluinya.

Ia ditambah pula dengan terdedah kepada cuaca ekstrem selain hujan lebat menyebabkan mudah berlubang. Itu belum lagi kerosakan disebabkan bencana alam atau tanah runtuh.

Penyelesaian yang dapat dilihat, kita terus membina lebuh raya baharu di seluruh negara untuk memenuhi permintaan semakin meningkat setiap tahun.

Namun, pertambahan projek infrastruktur jalan dan lebuh raya mengakibatkan perubahan alam semula secara ketara sehingga menimbulkan kesan lain khasnya fenomena banjir kilat luar biasa.

Kos selenggara lebuh raya makin meningkat

Sementara itu, kos untuk menyelenggara lebuh raya juga semakin meningkat, sekali gus memberikan tekanan kepada syarikat konsesi untuk menaikkan kadar tol.

Akhirnya, jumlah subsidi semakin meningkat setiap tahun lalu menambahkan lagi bebanan kewangan kepada kerajaan yang berusaha keras untuk mengurangkan defisit perbelanjaan setiap tahun.

Mungkin juga kekangan sumber kewangan antara sebab utama tiadanya penyelesaian jangka panjang kepada sistem pengangkutan negara.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *