Mengapa tidur cukup tapi masih penat?

RAMAI antara kita mengeluh kerana berasa penat walaupun sudah mendapatkan tidur yang secukupnya.

Ada yang tidur lapan jam setiap malam, namun tetap bangun dalam keadaan letih dan tidak bermaya.

-Advertisement-

Keadaan ini kerap berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini terutamanya golongan dewasa yang memikul pelbagai beban dan tanggungjawab.

Persoalannya, mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Adakah tidur yang mencukupi dari segi kuantiti sahaja sudah memadai, atau ada faktor lain yang perlu diambil kira?

Sebenarnya, kualiti tidur memainkan peranan yang jauh lebih penting berbanding kuantiti semata-mata.

Seseorang mungkin boleh tidur selama lapan jam, namun jika tidurnya terganggu, kerap terjaga atau tidak melalui fasa tidur nyenyak, tubuh dan minda tidak akan dapat rehat yang sebenar.

Gangguan seperti bunyi bising, cahaya terang, atau penggunaan telefon bimbit sebelum tidur boleh menjejaskan kualiti tidur dengan ketara.

Selain itu, tekanan emosi dan mental juga boleh menjadi punca utama keletihan yang berpanjangan.

Tekanan kerja, masalah keluarga atau beban fikiran yang belum diselesaikan sering kali menyebabkan otak bekerja; walaupun tubuh sedang berehat.

Ini menjadikan tidur kita tidak sepenuhnya tenang. Dalam keadaan ini, seseorang mungkin kelihatan tidur nyenyak, tetapi mindanya masih aktif, seolah-olah terus bekerja sepanjang malam.

Individu yang menghidap penyakit seperti insomnia juga sering mengalami keletihan, kelesuan dan kurang produktif pada waktu siang.

Ini kerana penghidap insomnia mengalami kesukaran untuk tidur, mereka hanya tidur sekejap-sekejap dan berjaga sepanjang malam.

Faktor seterusnya ialah gaya hidup yang tidak sihat. Pengambilan makanan tidak seimbang, kekurangan senaman serta pengambilan kafein atau gula secara berlebihan dalam diet harian boleh menyebabkan tubuh cepat letih.

Badan yang tidak sihat secara fizikal juga sukar pulih walaupun diberi rehat mencukupi.

Tidak kurang pentingnya ialah masalah kesihatan tersembunyi seperti anemia, gangguan tiroid, apnea tidur, atau gangguan hormon.

Individu mengalami keadaan ini mungkin tidak sedar badan mereka memerlukan bantuan perubatan untuk mendapatkan tenaga dan kualiti hidup lebih baik.

Jadi, perlu ingat tidur yang mencukupi dari segi tempoh tidak semestinya menjamin tubuh segar dan bertenaga.

Kita perlu memberi perhatian kepada kualiti tidur, kesihatan mental, pemakanan, dan keadaan kesihatan keseluruhan.

Jika keletihan berterusan walaupun sudah cuba pelbagai cara, sebaiknya berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Ingatlah, tidur yang baik bukan sekadar tentang tempoh, tetapi mengenai betapa nyenyaknya tubuh dan minda berehat.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *