KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid Inteam bakal mengumumkan keputusan pertambahan hari ledua untuk Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun dalam masa terdekat.
Anggota Inteam, Mohd Syahril Abdul Khalid berkata, Inteam menerima banyak permintaan peminat yang meminta agar konsert ditambah sehari lagi berikutan kegagalan mendapatkan tiket Sabtu lalu.
Bagaimanapun, kata Mohd Syahril, perbincangan akan dibuat petang ini bersama anggota Inteam yang juga pengarah konsert Muhammad Hazamin Harun secara atas talian kerana masih berada di Makkah.
“Segala keputusan sama ada untuk menambah hari hanya akan diputuskan, petang ini.
“Banyak faktor perlu diambil kira terutama dari sudut kemampuan tenaga dan modal. Ini kerana modal konsert ini adalah daripada Inteam sendiri tanpa tajaan dari mana-mana pihak.
“Selepas kata putus dicapai, kami akan umumkan apakah akan ada pertambahan hari atau kemungkinan pertukaran lokasi,” katanya kepada BH Online.
Mohd Syahril berkata, mereka tidak menyangka sokongan padu ditunjukkan peminat terhadap Inteam sehingga jualan tiket konsert bakal diadakan pada 28 September depan di IdeaLive Petaling Jaya yang dibuka pada Sabtu lalu habis dijual dalam tempoh satu jam.
Berikutan banyak rungutan daripada peminat yang gagal mendapatkan tiket, Inteam seolah-olah memberi bayangan bakal mengumumkan berita baik buat peminat mereka.
Terdahulu, pada 22 Mei lalu, penjualan tiket Konsert Kasih Kekasih 25 Tahun mendapat sambutan hangat peminat apabila habis dijual dalam tempoh dua jam dilancarkan.
Susulan itu, konsert yang awalnya dirancang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 27 September ditukar ke tarikh dan lokasi baharu bagi memenuhi permintaan peminat yang gagal mendapatkan tiket.
Inteam dianggotai oleh Mohd Syahril, Muhammad Hazamin,, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.
Konsert berkenaan diadakan sempena 25 tahun penubuhan kumpulan Inteam yang terkenal dengan lagu seperti Kasih Kekasih dan Nur Kekasih.
Kredit : Berita Harian