Derma darah semai budaya prihatin, empati masyarakat

Tanggal 14 Jun amat istimewa sekali. Semalam, kita meraikan penderma darah dan penganjur kempen derma darah serta rakan strategik atas sumbangan mereka secara sukarela tanpa ganjaran.

Darah satu komponen penting dalam perawatan kesihatan, manakala penderma darah nadi kehidupan negara.

Dr Mohammad Masrin Md Zahrin

Sumbangan mereka bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi juga membina harapan ribuan pesakit setiap tahun.

Tema Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan pada tahun ini iaitu, ‘Derma Darah, Semai Harapan: Bersama Selamatkan Nyawa’ amat bertepatan. Ia menyeru kita semua agar bersama menyemai budaya prihatin, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.

Segala usaha dan matlamat membekalkan darah yang secukupnya untuk kegunaan pesakit tidak akan berjaya tanpa sokongan seluruh masyarakat.

Kesedaran masyarakat amat perlu sekiranya kita ingin menjadikan pendermaan darah ini sebagai tanggungjawab dan budaya hidup seluruh masyarakat.

Pusat Darah Negara (PDN) berhasrat untuk mencapai kadar pendermaan darah 3.5 peratus hingga 4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Pada masa ini, kadar pendermaan darah yang dicapai hanyalah 2.3 peratus daripada populasi.

Keadaan ini menjejaskan bekalan darah di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan, penderma menderma darah sebanyak tiga hingga empat kali setahun bagi memastikan bekalan darah mencukupi dan mampan.

Penderma darah berulang adalah sumber darah yang boleh dipercayai kerana mereka berisiko lebih rendah terhadap jangkitan virus yang boleh ditularkan melalui transfusi berbanding penderma baharu.

Oleh itu, PDN perlu merangka strategi dan meningkatkan usaha menggandakan bilangan penderma melalui program pengekalan penderma baharu yang perlu diberi keutamaan.

Sedari awal perkhidmatan saya di PDN, saya ingin memastikan, matlamat utama Program Darah Kebangsaan adalah untuk memastikan bekalan darah yang selamat, berterusan (sustainable) dan mudah diakses (accessible) kepada semua lapisan rakyat Malaysia, pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada.

Saya yakin dengan sokongan berterusan daripada penderma, warga kesihatan dan masyarakat umum, objektif ini akan dapat dicapai.

Dalam pada kita mendepani cabaran hari ini dan masa hadapan, pelan strategik serta tindakan dirangka bagi memastikan bekalan darah sustainable (mampan) dan accessible (saksama).

Bagaimanapun, ia tidak mudah, dalam situasi penuaan penduduk, peningkatan kadar Non-Communicable Disease (NCDs), keperluan dan permintaan terhadap darah semakin meningkat. Ini berikutan, hasil kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan bilangan hospital kerajaan dan swasta.

Rawatan kes seperti pembedahan jantung, pemindahan organ, rawatan pesakit talasemia, haemofilia dan anemia memerlukan pemindahan darah.

Menyedari cabaran ini, PDN bersama Institut Penyelidikan Tingkah Laku (IPTK) menghasilkan laporan teknikal yang sangat bermakna. Ia susulan hasil kajian pada 2023 yang bertajuk, Identifying Donor Behaviour Intention Factors as Predictors to Become a Regular Donor at the National Blood Center.

Pendekatan berbentuk behavioural insights seperti yang diterapkan dalam laporan ini penting dalam menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) membangunkan dasar dan intervensi yang lebih berfokus, bersifat inklusif dan berimpak tinggi.

Secara keseluruhan kajian ini, kebanyakan peserta menunjukkan sikap positif terhadap pendermaan darah. Separuh daripada mereka menunjukkan norma subjektif positif, manakala 80 peratus menunjukkan kawalan tingkah laku dirasakan secara positif terhadap pendermaan darah.

50 peratus setuju derma darah 3 hingga 6 bulan

Namun, kajian ini mendapati hanya 5.6 peratus peserta mempunyai pengetahuan yang baik mengenai pendermaan darah, manakala majoriti iaitu hampir 70 peratus daripada peserta, berpengetahuan lemah. Selebihnya, iaitu 25.2 peratus, mempunyai pengetahuan sederhana.

Sebanyak 50 peratus daripada peserta sangat bersetuju untuk menderma darah dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas pendermaan terakhir mereka.

Halangan utama yang dikenal pasti dalam kalangan penderma adalah kurangnya kesedaran, darah sentiasa diperlukan, diikuti ketiadaan kempen dan kekangan masa kerana jadual yang padat.

Dari segi insentif, sebanyak 70 peratus peserta mendapati keistimewaan kesihatan sebagai tarikan utama, 58.3 peratus menghargai sajian ringan selepas pendermaan darah, dan 51.3 peratus menghargai masa diluangkan untuk menderma.

Berdasarkan dapatan kajian, kami mencadangkan beberapa syor untuk mempertingkatkan perkhidmatan pendermaan darah, menggalakkan pendermaan darah secara sukarela, dan memupuk penyertaan berterusan daripada penderma tetap.

Syor ini digariskan berdasarkan Strategi Behavioural Insight iaitu:

Strategi 1: Promosi dan pendidikan berterusan

Sampaikan mesej yang fokus, tepat dan relevan (maklumat yang perlu diketahui) merentasi semua platform media.

Segmentasikan mesej mengikut kumpulan sasaran dan peringkat usia antara pelajar sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi atau komuniti dan program retention penderma.

Strategi 2: Penggunaan norma sosial

Ini termasuk, advokasi penderma darah sebagai ejen-sukarelawan, menubuhkan kumpulan sokongan penderma, pengambilan penderma baharu, mewujudkan komuniti penderma darah; membentuk identiti/gaya hidup sebagai penderma darah dan mewujudkan kumpulan sokongan sosial.

Strategi 3: Penambahbaikan infrastruktur dan pengalaman penderma

Ia merangkumi memantapkan pengurusan maklumat penderma darah, menyediakan ruang sajian yang selesa dan mesra pengguna, dan memberikan peringatan kepada penderma darah.

Strategi 4: Pemantauan dan evaluasi serta pembelajaran

Membangunkan sistem pangkalan data untuk memantau jumlah penderma darah secara langsung.

Kesimpulannya strategi promosi kesihatan seperti kempen media massa, penglibatan komuniti, serta program pendermaan darah di tempat kerja dan sekolah adalah penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah.

Selain itu, pendidikan berterusan mengenai faedah pendermaan darah dan penjagaan selepas pendermaan dapat membantu mengatasi mitos yang menghalang ramai individu daripada menderma darah.

Advokasi dasar dan pemberian insentif juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan pendermaan darah secara berterusan.

Usaha berterusan mempromosikan kesedaran dan pendidikan mengenai pendermaan darah, diharap dapat meningkatkan kadar pendermaan darah secara keseluruhan dan memastikan bekalan darah mencukupi untuk memenuhi keperluan kesihatan negara dan global.

Pada masa sama, tumpuan perlu terus diberi untuk memastikan elemen kesejahteraan penderma atau donor care diberi perhatian.

Saya percaya, penderma darah sejahtera dan selamat pasti dapat menyumbang kepada bekalan darah yang cukup tanpa pihak hospital perlu meminta-minta.

PDN dan Perkhidmatan Perubatan Transfusi seluruh negara mesti terus berinovasi dan menyesuaikan strategi bagi mengatasi halangan serta memanfaatkan faktor penggalak yang telah dikenal pasti dalam kajian ini.

Dengan meningkatkan pengetahuan penderma mengenai pendermaan darah, memperbaiki akses kepada kemudahan pendermaan dan mewujudkan persekitaran yang menyokong, program ini dapat memperkukuh usaha mereka bagi memastikan bekalan darah mencukupi dan mampan untuk memenuhi keperluan pesakit seluruh negara.

Penulis adalah Pengarah Pusat Darah Negara

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *