Safawi tidak lagi bersama TFC, Azam Azmi kekal

KUALA TERENGGANU: Penyokong setia Terengganu FC (TFC) terpaksa melupakan khidmat penyerang sensasi, Safawi Rasid apabila pemain kelahiran Dungun itu tidak lagi tersenarai dalam pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.

Bagaimanapun, berita ketiadaan Safawi sedikit terubat dengan pengesahan bahawa pemain pertahanan kebangsaan, Azam Azmi Murad kekal bersama skuad Penyu selepas dipinjamkan semula oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim baharu.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain, berkata Safawi adalah antara sembilan pemain yang tidak lagi bersama pasukan, termasuk lima pemain import.

“Antara yang tidak lagi bersama TFC ialah Mohd Nor Hakim Hassan, Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Syaiful Haqim Shahrul, serta empat pemain import – Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Ivan Mamut, Nelson Bonilla dan Argzim Redzovic,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Syahrizan memaklumkan TFC akan memperkenalkan lima pemain import baharu berbanding empat sebelum ini, selain dua pemain tempatan baharu yang dijangka diumumkan secara rasmi sebelum 5 Julai ini.

“Semua urusan dokumen, logistik dan ujian kecergasan serta perubatan kini sedang diselesaikan sebelum pemain terbabit memeterai kontrak bersama kelab.

“Pemain tengah import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov juga telah diperbaharui kontraknya untuk terus memperkuatkan pasukan musim ini,” katanya.

Menyentuh mengenai spekulasi perpindahan Akhyar Rashid ke kelab Brunei, DPMM FC, beliau menjelaskan setakat ini pihak kelab tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada pasukan berkenaan.

“Akhyar masih dalam perancangan ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali, dengan kontraknya masih berbaki sehingga 2027,” jelasnya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *