Penyanyi lagenda, Datuk Zainal Abidin mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lebih mengenai kenyataan yang dibuat oleh anak perempuannya, Timur Gabriel yang sebelum ini mendakwa bapanya tiada usaha untuk memperbaiki hubungan mereka.
‘Mesti binti Zainal Abidin‘

Zainal, 56, memberitahu, dia hanya akan mengulas sesuatu isu jika seseorang itu berbintikan namanya sahaja.
Kalau saya nak jawab, saya jawab. Tapi sebenarnya, tiada apa-apa untuk dijelaskan. Dia (Timur) boleh kata apa sahaja dia mahu.
Namun bagi saya, anak saya mesti bernama ‘binti Zainal Abidin’. Kalau bukan menggunakan nama itu, maka bukanlah anak saya. Itu sahaja jawapan saya.
Zainal berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Legasi P. Ramlee yang berlangsung di Finas, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Tambah Zainal, Timur berhak untuk melontarkan apa sahaja yang ingin keluar daripada mulutnya, namun dia memilih untuk tidak membalas kenyataan terbabit.
Jelas pelantun lagu Hijau itu, dia lebih selesa untuk berkongsi mengenai kerjaya seni berbanding menjaja kisah peribadi.
Kalau nak tanya saya percaya atau tidak pada kenyataan dia, jawapan saya, tidak. Dia ada hak untuk berkata apa dia mahu, silakan. Tapi saya tidak akan membalas apa-apa.
Kenapa? Sebab saya percaya, Allah lebih mengetahui. Itu pandangan peribadi saya. Saya tidak seharusnya berkongsi tentang hal itu. Saya cuma mahu berkongsi dengan anda mengenai kerjaya saya.
Kalau anda nak tahu tentang Konsert Legasi P. Ramlee, album baharu, konsert saya, semua itu saya terbuka. Tapi soal ini terlalu peribadi.
Kalau perkara itu benar, sudah pasti kerjaya seni saya musnah. Tapi ini tidak benar. Jadi cakaplah apa yang nak dikata. Cakaplah, saya tiada masalah.
Terdahulu, Timur mendakwa hubungannya dengan bapa, Zainal Abidin dalam keadaan dingin dan mereka tidak saling berkomunikasi antara satu sama lain.
Malah, menerusi satu sesi podcast, Timur mengakui terkilan apabila mendakwa bapanya tiada usaha untuk berdamai dan enggan mengetahui perkembangannya.
Sekadar info, Timur Gabriel merupakan anak hasil perkahwinan Zainal dengan bekas isteri, Natasha Gabriel.
Zainal dan Natasha mendirikan rumah tangga pada Mac 1987, namun disahkan bercerai pada Disember 2000. Selain Timur, pasangan itu juga dikurniakan seorang anak lelaki.
Kredit : Oh bulan