Saya ada duit, tak perlu ‘sugar daddy’ – Siti Hariesa

KUALA LUMPUR: “Saya ada duit sendiri. Saya tak perlukan ‘sugar daddy’,” kata pelakon, Siti Hariesa, 27, ketika diminta mengulas dakwaan dia ditaja lelaki kaya untuk hidup mewah.

Siti Hariesa berkata, dia mempunyai pendapatan sendiri hasil kerja kerasnya sebagai pelakon ketika ini.

“Orang luar mungkin boleh bercakap macam-macam dan menuduh sesuka hati, tetapi saya tahu siapa diri saya. Saya takkan terbabit dengan perkara seperti itu,” katanya ketika ditemui pada sesi media Meet & Greet bersama pelakon drama Viu Lambaian Huda di The Starhill, Bukit Bintang, di sini.

Bagaimanapun, Siti Hariesa mengakui, dia ada menerima banyak mesej daripada ‘lelaki gatal’ di media sosial.

“Tipulah kalau tak ada. Saya akan buat tak endah ataupun sekat saja akaun mereka,” katanya.

Ditanya wataknya sebagai Suzy iaitu wanita yang bekerja di kelab dan menjadi ‘sugar baby’ dalam drama Lambaian Huda, Siti Hariesa berkata, dia harap penonton tidak skeptikal terhadapnya.

“Apa yang saya buat dalam drama itu hanyalah sekadar lakonan kerana saya bukannya begitu di luar.

“Sejujurnya, saya juga kurang selesa untuk berlakon watak sebegitu terutamanya babak perlu ‘melayan’ lelaki.

“Tetapi, saya anggap ini sebagai satu cabaran buat saya kerana pada masa sama, watak Suzy juga mahu mendalami ilmu agama selepas mengenali jirannya yang juga seorang ustaz (lakonan Hisyam Hamid),” katanya.

Sementara itu, kata Siti Hariesa, dia bersyukur kerana drama Lambaian Huda arahan Azri Izhar yang bakal melabuhkan tirai pada minggu hadapan itu mendapat sambutan hangat penonton.

Selain Siti Hariesa, drama itu turut menampilkan lakonan Hisyam Hamid, Fauzi Nawawi, Yuna Rahim, Fendi Bakry dan Elvina Chua.

Terdahulu, wujud polemik di media sosial yang mendakwa beberapa pempengaruh terkenal dan selebriti menjadi ‘sugar baby’ kepada lelaki kaya untuk hidup mewah, sebelum ini.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *