KUALA LUMPUR: Kumpulan wanita popular era 1990-an, Elite tampil dengan konsert sulung, Elite Live’25 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), pada 20 September depan.
Selepas muncul di pentas Konsert GenKRUdi Axiata Arena di sini, Mei lalu, Elite dihampiri beberapa penganjur yang menunjukkan minat untuk mementaskan konsert mereka.
Bagaimanapun Elite yang dianggotai Azza, Shasha Saidin, Abby Abadi, Watie Sadali dan Linda Rafar masing-masing sepakat memilih Icon Entertainment kerana kredibiliti pengasasnya, Iman Tang.
Azze berkata, faktor layanan baik dan keikhlasan Iman mendorong mereka bersetuju dengan tawaran Icon Entertainment.
“Kami tidak berfikir panjang, sebaliknya terus bersetuju apabila ditawarkan untuk mementaskam konsert bersama Icon Entertainment.
“Kami jayakan konsert ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, sebaliknya, mengembalikan nostalgia era 1990-an,” katanya pada sidang media Konsert Elite Live’25 di sini, semalam.
Azza mengakui dia dan teman-teman berdebar untuk menjayakan konsert sulung selepas tiga dekad bertapak dalam industri muzik.
“Semestinya kami berdebar. Ini konsert pertama Elite. Biarpun Iman cakap jangan tertekan dan nikmati setiap detik, kami mahu beri yang terbaik kepada peminat.
“Persiapannya bukan senang. Kami perlu bersedia dari sudut stamina, berat badan, suara dan segala-galanya perlu sempurna supaya kami selesa di pentas. Selepas itu, barulah keyakinan itu datang,” katanya.
Sementara itu, Iman berkata, Konsert Elite Live’25 dirancang teliti selepas kemunculan mereka di pentas konsert KRU.
“Elite masih relevan. Ini bukan konsert ‘tangkap muat’. Saya sudah teliti keperluan untuk adakan konsert ini berikutan Elite ada nama besar dalam industri muzik,” katanya.
Tiket konsert Elite Live’25 serendah RM268 hingga RM1,088 mula dijual lusa.
Kredit : Berita Harian