KUALA LUMPUR: Pemain warisan Harimau Malaya, Jon Irazabal menyifatkan perpindahannya ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai detik yang amat istimewa.
Semalam, JDT mengumumkan tonggak pertahanan berusia 29 tahun itu sebagai rekrut terbaharu mereka bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar musim 2025-2026.
Irazabal menerusi catatan ringkas di laman Instagram turut mengakui teruja untuk menghadapi cabaran bersama juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu.
“Hari yang amat istimewa menyertai keluarga JDT. Teruja untuk menghadapi cabaran yang akan datang,” tulis Irazabal selain turut memuat naik gambarnya memegang jersi JDT bernombor 17.
Perkongsian yang dibuat Irazabal itu mendapat perhatian daripada peminat dan rakan sepasukan terutama yang beraksi dalam skuad Harimau Malaya.
Seorang lagi pemain warisan baharu skuad negara, Rodrigo Holgado mengucapkan tahniah dan semoga berjaya pada ruangan komen Instagram Irazabal.
Irazabal menjadi salah seorang pemain terbaharu yang akan memperkuatkan JDT bagi menghadapi musim 2025-2026 selepas kelab itu sebelum ini mengumumkan ketibaan Ibrahim Manusi, Jairo Da Silva dan Antonio Glauder.
Irazabal membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika membantu skuad negara membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun lalu.
Rabu lalu, BH Sukan melaporkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) berpeluang menyambar Irazabal selepas tonggak pertahanan berusia 28 tahun itu sah meninggalkan kelab Azerbaijan, Sabah FK.
Kira-kira dua jam selepas mengumumkan kehadiran Irazabal, JDT turut mengumumkan seorang lagi pemain warisan Harimau Malaya yang beraksi di bahagian tengah, Hector Hevel sebagai ‘senjata’ baharu mereka.
Kredit : Berita Harian