SAKIT kepala antara masalah kesihatan yang paling lazim dihadapi masyarakat tanpa mengira usia mahupun jantina.
Namun begitu, masih ramai yang keliru antara sakit kepala biasa dan migrain, sedangkan kedua-duanya mempunyai perbezaan yang ketara dari segi gejala, punca dan kaedah rawatan.
-Advertisement-
Pakar kesihatan menjelaskan, sakit kepala biasa lazimnya bersifat ringan hingga sederhana manakala migrain pula adalah sejenis gangguan neurologi yang lebih kompleks dan menyakitkan.
Sakit kepala biasa
Sakit kepala biasa adalah jenis sakit kepala yang paling kerap berlaku. Ia biasanya disebabkan oleh faktor luaran seperti stres, keletihan, kurang tidur, atau ketegangan otot di bahagian leher dan bahu.
Kesakitan yang dirasai bersifat sederhana dan terasa seperti tekanan atau kekangan di sekeliling kepala, terutama di bahagian dahi atau belakang kepala.
Sakit kepala jenis ini lazimnya tidak mengganggu aktiviti harian dan boleh dirawat dengan mudah menggunakan ubat tahan sakit ringan, tidur yang mencukupi, atau rehat secukupnya.
Sakit kepala ini juga juga jarang disertai dengan gejala sampingan lain seperti loya atau muntah.
Migrain
Migrain pula adalah sejenis gangguan neurologi yang lebih kompleks dan menyakitkan.
Kesakitan migrain sering berlaku secara berdenyut pada sebelah kepala sahaja, walaupun kadangkala boleh berlaku di kedua-dua belah. Migrain bukan sahaja menyebabkan sakit kepala, tetapi sering disertai dengan gejala lain seperti loya, muntah, sensitif terhadap cahaya, bunyi.
Dalam sesetengah kes, migrain juga boleh menyebabkan cirit-birit.
Migrain biasanya berlangsung selama beberapa jam hingga beberapa hari dan boleh mengganggu aktiviti harian secara serius.
Migrain boleh disebabkan oleh keturunan, perubahan hormon (terutama dalam kalangan wanita), stres yang melampau, makanan tertentu, kurang tidur atau perubahan cuaca yang mendadak.
Perbezaan utama antara sakit kepala biasa dan migrain terletak pada intensiti kesakitan dan gejala.
Sakit kepala biasa bersifat ringan hingga sederhana dan tidak disertai simptom lain manakala migrain lebih menyakitkan, berpanjangan, dan mempunyai gejala tambahan yang mengganggu.
Selain itu, migrain memerlukan rawatan lebih khusus, termasuk penggunaan ubat khas dan kadangkala memerlukan ubat pencegah jika berlaku terlalu kerap.
Sebaliknya, sakit kepala biasa boleh sembuh tanpa rawatan ubat atau hanya dengan perubahan gaya hidup.
Dengan memahami perbezaannya, kita dapat mengambil langkah yang tepat untuk merawat dan mencegah masalah tersebut daripada menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup.
Jika seseorang sering mengalami sakit kepala yang teruk, berulang atau disertai dengan gejala lain, penting mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor bagi memastikan ia bukan tanda migrain atau penyakit lain yang lebih serius.
Kredit : Berita Harian