Permit MACP, lesen semua ada, jadi konsert 4U2C ‘on’ – AC Mizal

KUALA LUMPUR: Biarpun dihambat kontroversi termasuk apa yang didakwa berkaitan hak cipta dan pemilikan lagu, kumpulan hip hop popular era 1990-an, 4U2C tidak berganjak dengan projek WE 4U2C Live In Concert.

Sehubungan itu, 4U2C yang terkenal dengan lagu Fiona, mahu menunaikan janji beraksi di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September depan.

Mewakili 4U2C, Datuk AC Mizal atau nama sebenar, Mizal Zaini berkata, kumpulannya mempunyai hak untuk mementaskan konsert mengikut garis panduan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

“Saya hendak umumkan, kami sudah dapat permit MACP… Konsert ini akan diteruskan.

“Mengikut Akta Hak Cipta Malaysia 1987 melalui MACP, setiap persembahan secara langsung menggunakan muzik ‘live’, tidak perlu dapat apa-apa persetujuan dari pencipta lagu.

“Ini kerana pencipta lagu sudah serahkan hak milik kepada MACP untuk diperdagangkan.

“Bukan hendak menidakkan hak milik, apabila ada perkara berbangkit, kami jawab hari ini terutama berkenaan hak milik.

“Rujukan ini kami buat sebelum projek WE 4U2C Live In Concert diumumkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada sidang media itu adalah wakil penganjur, Juss Event Sdn Bhd, iaitu Shasha Marican dan peguam yang mewakili mereka, Carlos Mak Chuen Yuan dari firma guaman, Tang Kong Hai dan Tui, selain anggota kumpulan 4U2C.

Isu konsert 4U2C tercetus apabila komposer, Man Senoi atau nama sebenar, Othman Masri, 72, dan isteri, Ramziah Mohamed Noor, 62, yang dikenali sebagai Mama Rap, dilapor

mempertikaikan tindakan 4U2C yang mahu mementaskan WE 4U2C Live in Concert. Man Senoi dan Mama Rap mendakwa mereka memegang hak milik 25 lagu kumpulan terbabit.

AC berkata, bagi membersihkan nama dan reputasi yang sudah tercalar, penganjur menuntut beberapa individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak benar dan mengelirukan berhubung konsert 4U2C, untuk membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.

“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap semua kenyataan palsu selain menuntut permohonan maaf dalam masa 24 jam,” katanya.

AC berkata, semua lesen dan permit daripada pihak berwajib sudah diperoleh untuk 4U2C menganjurkan konsert itu.

“Malangnya, kami dapati pihak ketiga keluarkan kenyataan palsu menentang 4U2C, baru-baru ini.

“Jadi, kami tuntut mereka buat permohonan maaf terbuka kepada media dan orang awam dalam tempoh 24 jam,” katanya sambil menambah tindakan akan diambil jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf seperti diminta.

AC mendakwa hairan mengapa isu lagu diperbesarkan, sedangkan dia belum mengumumkan lagu yang hendak didendangkan pada konsert itu.

“Mungkin saya nyanyikan lagu bahasa Inggeris, India atau Cina… Pasti ada agenda tertentu,” katanya.

Sementara itu, AC mendakwa, jualan tiket WE 4U2C Live In Concert terjejas selepas kontroversi tercetus.

“Sebelum isu ini timbul, tiket sudah terjual sebanyak 70 peratus. Mungkin ramai yang bimbang jika konsert ini dibatalkan susulan kontroversi yang timbul,” katanya.

Mengenai 25 lagu yang didakwa Man Senoi miliknya, seorang lagi anggota 4U2C, Azam, menafikan perkara itu.

“Saya ahli MACP dari 1992 dan masih aktif. Dalam koleksi lagu 4U2C, ramai tidak tahu bahawa bukan semua lagu di bawah hak milik bekas pengurus kami.

“Lagu-lagu hit adalah ciptaan Joe dan lagu Kami Rapper, saya yang cipta. Dalam album pertama kami, Man Senoi ada tiga lagu sahaja.

“Kami ada dua album penuh dan sebuah album mini. Setiap album, dia (Man Senoi) hanya cipta tiga lagu.

“Dia dakwa semua lagu dia buat, saya kecewa. Isu ini tidak sepatutnya timbul. Sebenarnya, kira-kira 70 peratus lagu adalah milik kami,” katanya.

Sebelum ini, Man Senoi dilapor mendakwa tidak dihubungi mana-mana pihak termasuk penganjur konsert, bagi meminta kebenaran berkaitan dengan ‘sound audio’ atau bahan rakaman yang menjadi hak milik Zman Productions, sebelum konsert dipentaskan.

4U2C adalah artis rakaman Zman Productions milik Man Senoi dan Ramziah.

Bagaimanapun, hubungan terlerai selepas album kedua 4U2C yang membawa kepada pertikaian di mahkamah dan kemenangan dilapor berpihak kepada Zman Productions.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *