Taruhan berbeza Siti Saleha

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-41, TV3, mempersembahkan telefilem sulung arahan aktres popular, Siti Saleha, iaitu Rentak Dua Hati yang mengetengahkan tema cinta rentas bangsa dan identiti berganda seorang wanita berhijab.

Disiarkan menerusi segmen cerekarama mulai Sabtu ini, jam 10 malam di TV3, Rentak Dua Hati membuka tirai projek khas Dari Layar ke Lensa, iaitu inisiatif stesen televisyen (TV) nombor satu ini yang menampilkan empat artis terkenal iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim.

Melalui projek istimewa ini, setiap artis yang sebelum ini membina reputasi dalam dunia lakonan, mengambil kerusi pengarah untuk memperkaya kandungan tempatan.

Menerusi cerekarama ini, Siti Saleha bukan sahaja mengarah, malah. membawa penceritaan yang lahir daripada jiwa dan pengalaman sendiri.

“Saya seronok mengarahkan cerita ni, daripada tulis skrip sampai ke set penggambaran. Cerita ni datang dari hati. Jadi, apabila masuk penggambaran, saya memang sudah bersedia.

“Cakap pasal kerja mengarah saya ni, saya boleh kata, kalau berlakon, penatnya lain, kalau mengarah letihnya tidak sama. Apabila mengarah, semua perkara kena fikir, iaitu daripada lokasi, masa, pakaian, konti dan semuanyalah. Walaupun bukan semua tugas saya, tetap kena ambil tahu,” katanya.

Telefilem Rentak Dua Hati mengisahkan watak Adila lakonan Auni Yusri, sebagai peguam sivil junior yang menjalani kehidupan sebagai deejay secara rahsia. Perkenalannya dengan Fabian berbangsa Cina, iaitu lakonan Zhen Ning, membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila identitinya terbongkar dan keluarga Fabian tidak merestui hubungan mereka.

Dihimpit kecaman netizen dan tekanan keluarga, Adila berdepan dilema antara prinsip, cinta dan minat, serta harus membuat keputusan untuk masa depannya.

Saleha berkata, watak Adila boleh dirasai mana-mana wanita yang pernah tertekan atau bergelut dengan pilihan hidup.

“Adila nampak kuat, tetapi, sebenarnya, banyak yang dia pendam. Jadi, saya harap cerita ni dapat membuatkan penonton rasa sesuatu dan beri inspirasi untuk berani jadi diri sendiri,” kata nya.

Auni Yusri yang menjadi heroin dalam telefilem pertama arahan Siti Saleha itu, menyifatkan watak yang dibawa sebagai peluang yang tidak disangka dan bermakna.

“Saya sangat bertuah apabila Siti Saleha pilih saya untuk bawa watak Adila. Sebagai pelakon baharu, saya tidak jangka akan diberi tanggungjawab besar macam ini. Tetapi sepanjang di set penggambaran, Siti Saleha banyak bimbing dan bagi ruang untuk saya selesa dengan watak ini,” katanya.

Selain Auni dan Ning, pelakon senior, Khatijah Tan turut membintangi Rentak Dua Hati, lantas menyajikan gandingan pelakon yang cukup segar.

Rentak Dua Hati menjadi naskhah pembuka kepada projek Dari Layar Ke Lensa yang turut menampilkan tiga lagi telefilem sepanjang bulan ini, iaitu Noktah Dosa arahan Fattah Amin yang menanti siaran pada 12 Julai; Susu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai) dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai).

Setiap karya menjanjikan penceritaan berbeza dengan sentuhan peribadi pengarah tersohor masing-masing.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai drama kegemaran anda, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook (FB), Twitter, YouTube dan Instagram (IG), iaitu @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *