KUALA LUMPUR: Gara-gara sebiji epal yang tidak diisytihar tersimpan dalam beg, Datin Seri Umie Aida didenda Biosekuriti New Zealand sejurus tiba di Lapangan Terbang Auckland, baru-baru ini.
Umie atau nama sebenar, Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, didenda NZD400 (kira-kira RM1,024) selepas epal yang dibawa dalam beg, dikesan alat imbasan oleh pegawai Imigresen.
Mengulas insiden itu, Umie mengakui kekhilafan diri dan menyifatkan pengalaman yang dilalui sebagai takdir yang tidak diduga.
“Saya tidak bawa makanan ke New Zealand kerana ingin memudahkan urusan Imigresen. Tetapi, ketika berada di lounge MAS Airlines, saya ambil sebiji epal dengan niat hendak makan dalam penerbangan kerana terlalu letih.
“Namun, saya tertidur dan terlupa mengenai epal itu. Apabila sampai di New Zealand, mereka imbas beg dan terus kenakan denda,” katanya menerusi perkongsian video di Threads.
Difahamkan, Umie berada di New Zealand sejak 1 Julai lalu bagi menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang turut dibintangi Nora Danish, Datuk Remy Ishak dan Fattah Amin.
Insiden lucu itu menjadi bahan gurauan rakan-rakan pelakon yang mengusik Umie kononnya epal dari Malaysia ‘terlalu eksklusif’ sehingga mencecah nilai RM1,000 sebiji.
Namun, Umie tenang dan tidak melatah, malah, menerima insiden itu dengan hati terbuka sebagai pengajaran.
Kredit : Berita Harian