April 2, 2026

Sensasi macha ‘trending’ sihat atau estetik

SERBUK halus berwarna hijau yang dikenali sebagai matcha hari ini menjadi fenomena terbaharu dalam sajian dan santapan dunia, khususnya bagi penggemar minuman manis juga pencuci mulut.

Fenomena ini juga dilihat merubah pandangan terhadap makanan-makanan berwarna hijau yang sebelum ini tidak begitu menjadi pilihan ramai, tapi kini apa sahaja diperisa dengan serbuk matcha bakal menjadi ‘trending’.

Hari ini, permintaan global berada pada tahap tertinggi, dengan pasaran matcha dijangka mencecah USD5 bilion (RM20.9 bilion) menjelang 2028 dengan kadar pertumbuhan tahunan antara lapan hingga 10 peratus.

Bagaimanapun, kegilaan dunia terhadap sejenis teh hijau ini turut membuatkan dunia mula berdepan dengan kekurangan matcha yang belum pernah terjadi. Sehinggakan, pengeluar di Jepun dan China dilaporkan tidak lagi mampu memenuhi permintaan ramai.

Jepun misalnya sebagai pengeluar matcha paling premium didakwa hanya mampu menghasilkan enam peratus daripada jumlah keseluruhan hasil teh negara itu.

Sensasinya matcha, ramai beranggapan ia sebagai ‘new gen of coffee’, kerana ramai penggemar-penggemar kopi mula memilih atau beralih kepada minuman ini, sehinggakan ramai pengusaha-pengusaha kedai kopi menjadikan ia sebagai produk pilihan ramai.

Menariknya, produk matcha juga dilihat berjaya mengambil peluang daripada gaya hidup generasi pencinta kafe, yang diketahui cenderung memilih perkara yang sedang tular

Produk berasaskan matcha tidak dijual dengan harga berpatutan, sebaliknya untuk segelas minuman bersaiz sederhana, harga paling rendah adalah RM8 dan ia boleh meningkat kepada sekitar RM20 sekiranya ditambah perasa-perasa tertentu.

Makanan yang ditabur dengan serbuk matcha juga tidak kurang mahal, misalnya sepotong kek batik matcha mampu dijual dengan harga RM12, manakala pencuci mulut tiramisu berwarna hijau juga boleh mencecah sehingga RM25 sepotong.

Bagaimanapun, bagi generasi hari ini, khususnya Generasi Z, begitu menggemari matcha dan tidak kisah berbelanja mahal hanya untuk kelihatan estetik dalam Instagram atau TikTok.

Pesona pempengaruh

Satu artikel yang dikeluarkan British Vogue menyatakan, minuman matcha kini dikenali sebagai ‘Gen Z green juice’ yang menjadi pilihan ramai gadis media sosial dan di United Kingdom (UK) sahaja, produk teh ini meningkat 202 peratus dalam pasaran.

“Matcha menawarkan segala yang tidak dapat diberikan oleh kopi. Proses membancuh serbuknya sehingga menghasilkan buih yang sempurna bukan sahaja menyeronokkan, malah rasa halus dan menenangkannya juga tiada tandingan,” lapor penerbitan itu.

Generasi muda hari ini juga mendakwa matcha adalah minuman sihat dan lebih baik daripada kopi, kerana sifatnya yang antiradang dan mempunyai mikrob baik seperti Bifidobacterium dalam usus.

“Antioksidan semula jadi Epigallocatechin gallate (EGCG), mengandungi sifat yang menenangkan sistem saraf dan menjadi alasan mengapa mereka yang minum matcha mungkin tidak mengalami rasa gelisah atau cemas berbanding kopi, walaupun kedua-duanya mengandungi kafein.

“Meminum matcha boleh membantu memperbaiki ‘mood’ dan proses mentafsir, di samping mengurangkan kolesterol jahat serta menyokong proses nyah toksik hati,” lapor British Vogue lagi.

Laporan yang dikeluarkan oleh The Times pada bulan lalu, menyatakan, jenama kopi terkenal Blank Street Coffee di New York menggunakan matcha untuk meningkatkan 50 peratus keuntungan perniagaannya.

“Hasil itu diterjemahkan melalui minuman matcha yang menarik secara visual dan mesra TikTok dan strategi Blank Street Coffee mereka menggabungkan visual yang berani dengan penjenamaan berfokuskan Gen Z.

“Blank Street Coffee tidak hanya menawarkan variasi minuman tetapi ‘strawberry shortcake matcha’, ‘cookies-and-cream matcha’ dan ‘white-chocolate matcha’ yang direka dengan teliti untuk tarikan di TikTok dan Instagram, sekali gus menarik minat remaja serta golongan dewasa muda,” kata laporan itu.

Jangan terpengaruh dengan penampilan estetik

Matcha diketahui mempunyai kandungan nutrien baik seperti antioksidan, asid amino dan kafein semula jadi serta pelbagai vitamin dan mineral, sekali gus yang menjadikannya pilihan utama berbanding kopi.

Kandungan antioksidan yang tinggi seperti epigallocatechin gallate (EGCG) boleh membantu melawan radikal bebas dan mengurangkan keradangan, manakala L-Theanine pula meningkatkan fokus, ketenangan, dan mengurangkan kegelisahan walaupun berkafein.

Pakar nutrisi, Pusat Pemakanan dan Dietetik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Norazmir Md Nor, mengakui matcha adalah minuman berkhasiat kerana kaya dengan antioksidan, khususnya catechin atau EGCG, yang menyokong kesihatan jantung, sistem imun dan metabolisme.”

Bagaimanapun katanya, manfaat kesihatan itu bergantung pada kuantiti pengambilan dan cara penyediaan.

“Satu kajian rawak secara terkawal selama 12 bulan mendapati, pengambilan matcha secara berkala meningkatkan keupayaan pengenalan emosi dan kualiti tidur dalam kalangan warga emas yang mengalami kemerosotan fungsi kognitif.

“Meskipun tiada perubahan ketara dalam fungsi kognitif utama, peningkatan dalam aspek sosial dan tidur menunjukkan potensi matcha dalam menyokong kesihatan mental warga emas.

“Dalam kajian ke atas lelaki yang menjalani latihan rintangan, pengambilan minuman matcha dua kali sehari selama 8 hingga 12 minggu menunjukkan peningkatan kekuatan otot, pengurangan keletihan, dan penurunan tahap kortisol. Perubahan positif dalam mikrobiota usus juga dikaitkan dengan peningkatan prestasi fizikal,” katanya.

Norazmir berkata, matcha mengandungi kepekatan tinggi polifenol, terutamanya catechin seperti EGCG, yang mempunyai sifat antioksidan dan anti-radang.

Mengandungi kafein tinggi

Kajian menunjukkan bahawa kandungan polifenol dalam matcha adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding teh hijau biasa, memberikan perlindungan terhadap tekanan oksidatif dan menyokong kesihatan sel tubuh badan.

“L-theanine, iaitu asid amino yang terdapat dalam matcha, berfungsi bersama kafein untuk menghasilkan ketenangan, meningkatkan fokus tanpa menyebabkan kegelisahan. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan matcha dapat mengurangkan tahap tekanan dan kebimbangan, serta memperbaiki mood dan kesejahteraan emosi,” katanya.

Katanya, ada juga kajian mengaitkan pengambilan matcha secara berkala dengan peningkatan kadar denyutan jantung lebih rendah, peningkatan variabiliti kadar denyutan jantung, dan profil lipid lebih baik.

“Polifenol dalam matcha membantu mengurangkan tekanan darah dan menyokong kesihatan kardiovaskular secara keseluruhan,” katanya.

Bagaimanapun, Norazmir mengingatkan matcha mengandungi kafein lebih tinggi berbanding teh hijau biasa dan bagi individu yang sensitif terhadap bahan itu, mereka mungkin terdedah dengan pelbagai kesan sampingan antaranya insomnia, berdebar atau keresahan.

Justeru, kawalan pengambilan adalah penting, khususnya bagi golongan pelajar, ibu hamil, kanak-kanak dan pesakit hipertensi.

“Matcha juga mengandungi catechin dan jika dalam dos tinggi boleh memberi tekanan kepada hati dan saluran penghadaman, serta berpotensi mengganggu penyerapan zat besi.

“Malah, tanin, sejenis sebatian semula jadi yang terdapat dalam kebanyakan teh termasuk matcha, meskipun tidak toksik, boleh mengganggu penyerapan zat besi jika diambil secara berlebihan terutama semasa waktu makan,” katanya.

Norazmir turut mengakui ada kajian yang mendedahkan mengenai implikasi serius terhadap hati jika ia diambil secara berlebihan.

“Kajian menunjukkan pengambilan catechin yang sangat tinggi (dalam bentuk suplemen atau ekstrak) boleh memberi kesan kepada hati. Namun secara umumnya, saya melihat ia selamat untuk diminum sebagai minuman biasa sekiranya ia diambil secara sederhana umumnya,” katanya.

Di sebalik sensasi matcha, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengambilan minuman dan produk sebegitu yang diubahsuai bagi mengikut selera masyarakat, misalnya ditambah gula pada kadar tinggi.

“Produk sebegini mengurangkan nilai kesihatan asal matcha dan menyumbang kepada masalah lain seperti obesiti dan diabetes jika diambil secara kerap dan berlebihan,” katanya.

Tambahnya, penggunaan warna hijau tiruan dalam produk yang didakwa matcha juga merisaukan dan perlu diberi perhatian oleh pengguna.

“Warna hijau terang tidak semestinya matcha asli kerana terdapat produk matcha yang murah berisiko dicampur dengan pewarna makanan.

“Pengguna perlu lebih peka dan tidak terpengaruh hanya dengan penampilan estetik atau trend di media sosial,” katanya.

INFO

  • Matcha berasal daripada daun teh hijau Camellia sinensis yang dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk halus.
  • Keseluruhan daun matcha digunakan, menjadikan ia lebih pekat dari segi nutrien.
  • Ia sebahagian daripada upacara teh tradisional Jepun (chanoyu) dan digunakan oleh sami Zen untuk kekal berjaga serta fokus semasa meditasi.
  • Digunakan dalam suplemen penurunan berat badan.
  • Matcha berkualiti tinggi mempunyai warna hijau terang.
  • Matcha warna pudar atau kecoklatan bermutu rendah atau sudah teroksida.
  • Perlu disimpan dalam bekas kedap udara, disimpan di tempat sejuk bagi mengekalkan kesegaran dan khasiatnya.
  • Matcha gred upacara tekstur halus dan sesuai untuk diminum terus.
  • Matcha gred kulinari digunakan untuk memasak atau membakar.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *