Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Nasional Singapura
UMAT Islam seluruh dunia menyambut 1 Syawal dengan pelbagai cara dan gaya, berdasarkan warisan, adat resam, dan kelaziman masing-masing. Di Nusantara, 1 Syawal ini dikenali sebagai Hari Raya Puasa atau Aidilfitri. Di Jawa, perkataan lebaran terpakai untuk merujuk hari kebesaran ini.
Walaupun bentuk sambutan boleh berbeza disebabkan oleh budaya dan daerah masing-masing, inti dan makna pada Aidilfitri sudah banyak dirungkai dalam tradisi pemikiran dan keagamaan Islam.
Daripada sambutan hari raya, dapat dilihat kecenderungan kebudayaan kita dan bagaimana masyarakat masih kuat berpegang dengan adat resam dan warisan budaya yang diperturunkan kepada generasi masa kini, misalnya dari segi pakaian busana tradisional Melayu yang dikenakan sepanjang bulan raya, persediaan masakan dan kuih-muih.
Juga ada “jalan raya” yakni bersilaturahmi saling berkunjung ke rumah sanak-saudara dan handai-taulan.
Selain budaya warisan dilestarikan, yang paling penting hari raya adalah masa dan kesempatan untuk memperdalam kerohanian dan melaksanakan tuntutan amalan. Aidilfitri adalah hari kemenangan kepada umat Islam, khasnya yang menyempurnakan ibadah puasa.
Hari kemenangan ini bukan saja berkenaan kesempurnaan menjalankan ibadah puasa, dan melakukan ibadah lain seperti bertarawaih dan bersedekah, serta membaca Al-Quran dan memperbanyak sedekah dan membayar zakat dan fitrah.
Ertinya perayaan lebaran harus menjadi lembaran terpuji demi membersihkan diri kita dari dosa, dan menambahkan pula pahala. Ia adalah hari ‘pembersihan’, saling maaf-bermaafan, dan sedia berbagi rezeki kepada yang lain, membantu meringankan kesusahan mereka.
Justeru, keghairahan menyempurnakan ini semua, maka tidak jarang pula kita melihat bahawa persiapan sambutan Raya ini sudah berlebih-lebih dan boros. Ada kala, perbelanjaan yang terpakai melebihi dari perbelanjaan biasa, dengan masak-makan yang kadarnya lebih dari yang diperlukan.

Saling kunjung mengunjungi sama ada dalam kalangan saudara mara atau jiran tetangga sebahagian pengisian penting Aidilfitri.
Dalam masyarakat Melayu, dari masa ke masa kita mendengar seruan agar sambutan hari raya wajar dibuat dalam kesederhanaan supaya mendapat keredaan dan keberkatan daripada Tuhan.
Seruan seperti ini pernah termuat dalam majalah Bintang Malaya, yang mula terbit pada 1939. Majalah ini umumnya menampung penulisan mengenai kemasyarakatan dan keagamaan.
Ia kemudian terkumpul dan dibukukan menjadi Pedoman Berhari Raya. Naskhah ini diterbitkan pada 1941, sebagai satu panduan kepada masyarakat Melayu Islam memahami makna hakiki sambutan hari raya, dan bagaimana sewajarnya ia disambut, dan apa pula yang mesti dijauhi.
Naskhah ini turut menghurai penjelasan dan sambutan raya dalam masyarakat, zakat fitrah, malam Lailatul Qadar, sebuah khutbah hari raya dan sebuah cerpen bertajuk “Hadiah Hari Raya.”
Buku ini adalah hasil susunan Sidang Pengarang Bintang Malaya. Ia diterbitkan semula oleh Akademi Jawi Malaysia pada 2024 dan ditransliterasikan oleh Chong Kok Hong.
Satu bab dalam buku ini yang berjudul, “Keadaan Umat Islam Sekarang Berhari Raya” menggambarkan bagaimana Aidilfitri disambut di Makkah, Mesir dan rantau ini. Ia turut merakam mengenai sambutan Raya di Semenanjung, iaitu bagaimana orang Melayu di Muar menyambutnya:
“Seperti biasa, dimulakan jamuan makan pagi raya bersama keluarga, berjemaah solat Idul Fitri, ziarah ke kubur dan kemudian berkunjungan ke rumah saudara, tetangga dan sahabat. Namun di Muar dan Batu Pahat ada sedikit kelainan:
“Mereka berziarah kepada tiap-tiap rumah itu dengan beramai-ramai atau berpuak-puak satu kampung atau satu mukim, umpamanya setelah naik ke sebuah rumah itu mereka marhaban dengan ringkas kemudian diiringi dengan sedikit ucapan-ucapan Hari Raya.”
Namun disinggung pula beberapa kegiatan yang dilakukan melanggar lunas-lunas agama, kerana:
“menjadikan Hari Raya yang mulia dan berkat itu hari memuaskan nafsu dan maksiat kerana pada hari itulah mereka membukakan belenggu nafsu syahwatnya dengan mengadakan berbagai-bagai jenis permainan yang maksiat seperti ronggeng, judi, minum arak, bersuka-suka dengan perempuan ajnabi, zina, bergaduh, berdendaman dan sebagainya, hingga terkadang-kadang lebih dahulu daripada hari yang tersebut mereka telah bermuafakat hendak mengadakan majlis jamuan nafsunya itu sama ada di kelab-kelan atau di rumah-rumah dan lainnya dengan mengeluarkan wang berpuluh-puluh ringgit kerana membayar yuran jamuan itu.”
Beginilah teguran dari sebuah penulisan sebelum Perang Dunia Kedua meletus. Dokumen ini memperlihat kecenderungan bermasalah dalam masyarakat yang wajar ditegur serta menjelaskan pula makna sebenar dari Lebaran yang harus dicari.
Pendek kata, seruan yang dibuat adalah jangan sampai umat Islam “terpelencong” dari landasan yang asal.
“Maka hilang dan terhapuslah segala faedahnya dan hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya, maka tertinggallah Hari Raya itu zahirnya atau nama sebutannya sahaja, tetapi hakikat yang sebenarnya tekah terhapus atau dikatakan hari kesukaan dan keriaan nafsu sahaja, bukannya hari keriaan yang dikurniakan Tuhan.”
Mensyukuri nikmat
Setiap pagi Aidilfiri, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid. Dalam tradisi Islam, selepas takbir, harus disusuli dengan tasyakkur. Imam Al-Ghazali, seorang pemikir Islam yang terbilang, merangkum tiga segi yang ada pada tasyakur. Ia adalah ilmu, hal, dan amal.
Ilmu berkenaan kesedaran kita ke atas nikmat yang Tuhan sudah anugerahkan kepada kita.
Hal itu berkenaan sikap kita yang senantiasa bersyukur atas apa yang diberikan kepada kita dalam hidup ini.
Amal pula menggunakan segala yang ada pada kita untuk berbuat kebaikan kepada diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Takbir yang bererti melafazkan kebesaran Tuhan, wajar disuguhkan dengan tasyakkur bermatlamat berbagi nikmat yang dianugerahkan kepada kita kepada orang lain.
Ulasan Jalaluddin Rakhmat, seorang pemikir Islam asal Indonesia, mengenai perkara ini, baik diperturunkan;
“Kita bagikan kebahagiaan kita kepada orang lain. Makin banyak orang ikut merasakan nikmat yang kita peroleh, makin bersyukurlah kita. Anda menjadi orang kaya yang paling bersyukur bila kekayaan anda dapat dinikmati orang banyak. Kelebihan rezeki yang anda peroleh tidak anda gunakan untuk barang-barang konsumtif yang hanya berfungsi untuk meningkatkan harga diri. Anda tidak menikmatinya sendiri. Anda serahkan sebahagian rezeki anda untuk menolong ‘pasien’ yang tidak sanggup membayar biaya rumah sakit, memberikan biasiswa kepada anak cerdas yang tidak mampu, atau meringankan penderitaan orang miskin. Anda telah menyebarkan nikmat kepada orang lain. Inilah tasyakur dalam amal.”
Dengan tuntas beliau mengingatkan; “Puasa dimulai dengan menahan makan, dan diakhiri dengan memberikan makanan kepada orang lain. Bukankah itu semua menunjukkan bahawa amal seorang Muslim selalu dimulai dengan membesarkan Tuhan, dan diakhiri dengan mendatangkan manfaat kepada sesama manusia.”
Berbagi kebahagiaan, dan mencari kerahmatan itulah yang panji lebaran yang sewajarnya kita berpegang. Kalau kita perhatikan inilah waktu berbagi kepada mereka yang memerlukan.
Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, pada tetangga bukan Melayu kita berikan masakan raya dengan ketupat. Atau setidaknya sebalang dua kuih.
Terangkum semua ini adalah tuntutan bagi umat Islam yang berkemampuan untuk terus menunaikan ibadah zakat dengan matlamat utama mensejahterakan umat yang terlantar.
Itulah juga ditegaskan oleh intelektual Muslim Indonesia, Nurcholish Madjid dalam sebuah ceramah, bahawa “fungsi zakat sebagai perwujudan dimensi kemanusiaan yang memiliki nilai sangat penting bagi tegaknya sebuah tatanan sosial.”
Tambah beliau sepanjang Aidilfitri, “berkenaan dengan membelanjakan harta, orang beriman juga dianjurkan agar memperhatikan kesejahteraan orang tua dan kerabat. Sedangkan dengan mengeluarkan zakat fitrah, haruslah diikuti dengan mengeluarkan zakat yang lain, yakni zakat mal atau harta. Jadi, zakat fitrah berfungsi sebagai sarana penyucian diri, sementara zakat mal sebagai sarana penyucian harta. Dengan begitu, suasana Idul Fitri benar-benar dalam suasana serba fitri atau suci, lahir dan batin.”
Sesungguhnya bulan ini kita berbuat amal bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk membantu orang yang memerlukan. Inilah hari besar yang sebenar-benarnya menjadikan kita berjiwa besar. Bak madah dari bahasa Arab, ‘Bukanlah Aidilfitri bagi orang yang pakaian dan perabot rumahnya serba baharu, tapi Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.”
Itulah cerita lebaran yang berkesaksian membangun keimanan, kesejahteraan dan kemanusiaan.
Kredit : Berita Harian