March 21, 2026

Risik dalam media sosial adalah – bekas isteri Nubhan nafi gosip dirinya dilama[

KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi Nubhan, iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek menafikan dakwaan dia dirisik keluarga seorang jejaka selepas bercerai.

Dr Afifah atau mesra disapa Dr Fie, 37, menjelaskan sehingga kini belum ada mana-mana jejaka yang datang bertemu keluarga secara rasmi bagi menyatakan hasrat melamarnya sebagai isteri.

“Merisik dalam media sosial itu mungkin ada, tetapi, merisik secara formal memang tidak ada lagi. Belum lagi, masih terlalu awal.

“Buat masa ini saya mahu nikmati kehidupan sebagai wanita bujang dahulu,” katanya ditemui pada Rakaman Melodi Raya 2026 di Saloma Theatre Hall, Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Dr Afifah berkata, sejak selesai menjalani tempoh iddah, semakin ramai individu cuba mendekatinya melalui media sosial untuk berkenalan.

Bagaimanapun, Dr Afifah berkata, dia kurang percaya terhadap perkenalan secara maya, namun, tidak menolak kemungkinan jika jodoh ditentukan melalui cara tersebut.

“Saya fikir mungkin mereka tahu saya sudah habis iddah. Dulu tidak ada pula mesej seperti ini. Tetapi, sejak kebelakangan ini, semakin ramai yang cuba berkenalan.

“Biasalah dalam media sosial, sesiapa pun boleh mencuba sekarang. Cuma, saya tidak terlalu percaya dengan cara itu. Tetapi, kalau Allah tentukan jodoh bertemu melalui media sosial, kita nak cakap apa, tidak boleh menolak,” katanya.

Dr Afifah berkata, dia tidak pernah serik untuk kembali mendirikan rumah tangga, namun, lebih berhati-hati dalam memilih pasangan selepas melalui pengalaman lalu.

Tambahnya, buat masa ini, tumpuan lebih diberikan kepada kerjaya serta kebahagiaan tiga anaknya.

“Buat masa ini saya lebih fokus kepada kerjaya dan perniagaan. Ramai juga yang bertanya sama ada saya masih bekerja sebagai doktor gigi kerana saya sudah macam artis. Wajah saya kini lebih kerap muncul di media sosial.

Jadi, saya hendak lebih fokus kepada perniagaan sekarang. Saya mahu besarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Dr Afifah mendirikan rumah tangga dengan Nubhan pada 29 Ogos 2015, sebelum disahkan bercerai talak dua, Disember tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille, 4 tahun.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *