March 21, 2026

Rita Rudaini sukarela turun padang program CSR pelajar MRSM Sungai Besar

Kuala Lumpur : Keprihatinan terhadap usaha murni anak-anak dalam menyantuni masyarakat mendorong pelakon popular, Rita Rudaini untuk turun padang secara sukarela membantu menjayakan acara Jalinan Kasih Ramadan Badan Wakil Pelajar (BWP) X Seketariat Kepimpinan Pelajar (SKP) Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar.

Program khidmat masyarakat (CSR) yang berlangsung di sekitar Dataran Merdeka semalam, membabitkan pelajar Tingkatan 5 yang turut membabitkan anak sulung Rita iaitu Airit Rayyan dari MRSM Sungai Besar, yang turun ke kawasan sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bagi mengagihkan pek makanan berbuka puasa dan bersahur kepada golongan memerlukan.

Menurut Rita, kehadirannya pada program berkenaan sebagai tanda sokongan kepada usaha murni pelajar dan guru dalam mendidik generasi muda agar lebih peka terhadap masyarakat sekeliling.

“Walaupun terpaksa meredah hujan rahmat, saya tetap bersama anak-anak Ulul Albab ini mengagihkan makanan untuk berbuka dan bersahur di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan TAR.

Tambah Rita, pengalaman bersama pelajar dalam program berkenaan memberi kenangan yang cukup bermakna buat dirinya, apatah lagi masa yang diluangkan terasa begitu pantas berlalu.

“Semoga ia menjadi kenangan indah buat saya kerana masa seakan mencemburui kami apabila terasa begitu cepat berlalu ketika melakukan aktiviti ini bersama mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Rita turut merakamkan penghargaan kepada guru yang menganjurkan program terbabit iaitu Cikgu Dzulkifli Mahat yang menurutnya memainkan peranan penting dalam membentuk nilai empati dan keberanian dalam kalangan pelajar.

Ujarnya lagi, aktiviti seperti itu amat penting dalam membentuk jati diri generasi muda agar lebih menghargai kehidupan serta memahami nilai kemanusiaan.

Rita juga menzahirkan harapan agar pelajar yang terbabit akan terus membesar sebagai generasi berilmu dan berakhlak tinggi serta menjadi pemimpin masa depan negara.

“Saya doakan semoga anak-anak ini membesar menjadi generasi yang berilmu, berakhlak dan menjadi pelapis negara suatu hari nanti. Hari ini mereka belajar, esok mereka memimpin,” kata teraju filem Mami Jarum itu.

Rita turut menegaskan bahawa sebagai seorang wanita dan ibu, dia percaya peranan mendidik generasi muda adalah tanggungjawab besar yang menyumbang kepada masa depan negara.

“Tugas saya sebagai seorang wanita untuk negara adalah mendidik, membina dan membesarkan generasi yang lebih baik daripada kita. Mungkin tugas ini kecil di mata manusia, tetapi besar untuk masa depan negara.

“Wanita yang membina anak-anak dengan nilai dan ilmu sebenarnya sedang membina masa depan sebuah negara,” ujarnya.

Kredit : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *