Kuala Lumpur : “Ramai yang terlepas pandang kehadiran lagu Pulang Ke Desa nyanyian saya kerana kesilapan dalam memilih tajuk. Lagu ini tidak ada langsung perkataan Raya,” kata penyanyi Azmir Arif.
Menurutnya, situasi ini menyebabkan lagu terbabit tidak tersenarai dalam carian lagu Hari Raya dan ia sesuatu yang agak merugikannya.
“Saya akui saya bukanlah artis popular yang apabila orang dengar saja suara sudah tahu siapa penyanyi dan tajuk lagunya. Inilah masalah yang berlaku,” katanya kepada Harian Metro.
Azmir atau nama sebenarnya Mohd Azmira Mohamad Arif, 43, berkata, dia mengikuti perkembangan industri seni sepanjang Ramadan yang menyaksikan penghasilan banyak lagu Raya.
“Kita dapat lihat bukan saja penyanyi, malah pelakon, pelawak, pempengaruh (influencer), usahawan, malah orang biasa juga turut sama menghasilkan lagu Raya. Ada lagu ciptaan komposer dan ada juga yang menggunakan teknik kecerdasan buatan (AI). Pelbagai genre lagu Raya dicipta mengikut trend terkini.
“Semuanya sedap belaka, cuma seperti terasa kehilangan sesuatu iaitu jiwa. Lagu Raya tidak sama mood dan rasanya dengan lagu lain,” katanya.
Menurutnya, di tengah-tengah perdebatan hangat pencarian jiwa lagu Raya yang seakan-akan sudah hilang, lagu Pulang Ke Desa nyanyiannya tular semula di TikTok.
“Lagu ini sebenarnya sudah dihasilkan beberapa tahun lalu. Ia berentak inang yang mirip kepada lagu-lagu Raya tahun 70-an dan 90-an. Saya sengaja muat naik semula di TikTok pada 2 Mac lalu. Agak mengejutkan apabila sudah mendapat tontonan melebihi 100,000 dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
“Ini menyedarkan saya lagu ini tiada perkataan Raya yang sepatutnya dimasukkan sebagai tarikan kepada pendengar. Perkara ini tidak disengajakan pun,” kata yang turut berterima kasih kepada pendengar yang memilih lagu berkenaan.
Kredit : Harian Metro