March 21, 2026

TV3 tampil 3 drama menarik sepanjang Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Sempena musim Aidilfitri yang sinonim dengan waktu berkumpul bersama keluarga, TV3 tampil dengan tiga drama menarik daripada slot popularnya, iaitu Akasia, Lestary dan Samarinda yang dijangka menjadi antara tontonan pilihan ramai sepanjang cuti perayaan.

Menampilkan jalan cerita sarat emosi dengan konflik cinta serta pengkhianatan, tiga drama berkenaan ialah Khianat Yang Terpilih, Bila Cinta Menjadi Dosa dan Kerana Cinta Itu Dusta.

Ketiga-tiga drama ini turut dibarisi pelakon popular tanah air yang diyakini mampu menarik perhatian penonton setia drama tempatan.

Dengan plot yang penuh debaran serta pelbagai kejutan, drama-drama berkenaan dijangka membuatkan penonton terus melekat di hadapan televisyen, sekali gus menambah kemeriahan sambutan Syawal.

Bagi peminat drama yang sarat konflik emosi, Khianat Yang Terpilih yang dibintangi Ben Amir, Amyra Rosli, Puteri Aishah dan Ikmal Amry pasti menjadi pilihan.

Drama ini berkisar mengenai kisah kepercayaan, cinta dan pengkhianatan yang mampu mengubah segalanya.

Hubungan yang pada awalnya kelihatan sempurna, rupa-rupanya menyimpan pelbagai rahsia. Apabila kebenaran mula terbongkar, konflik demi konflik mula tercetus dan menjadikan jalan cerita semakin rumit.

Drama ini disiarkan setiap hari pada jam 6.58 petang menerusi slot Akasia di TV3.

Sementara itu, Bila Cinta Menjadi Dosa pula mengetengahkan kisah yang lebih dramatik dalam dunia penuh rahsia serta permainan emosi.

Dibintangi Che Puan Sarimah Ibrahim, Zamarul Hisham, Siti Elizad, Alya Iman dan Zairi Aziz, drama ini memaparkan bagaimana cinta boleh menjadi sesuatu yang berbahaya apabila dibayangi cemburu serta pengkhianatan.

Apabila perasaan mula bercampur dengan konflik dan emosi, setiap keputusan yang diambil mampu memberi kesan besar kepada kehidupan semua pihak.

Drama ini disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad pada jam 9 malam menerusi slot Lestary.

Dalam pada itu, Kerana Cinta Itu Dusta pula mengangkat kisah cinta yang tidak semudah yang disangka.

Dibintangi Azira Shafinaz, Nazrief Nazri, Jazmy Juma dan Emma Maembong, drama ini sarat dengan rahsia yang perlahan-lahan terbongkar sepanjang perjalanan cerita.

Drama ini disiarkan setiap hari pada jam 10 malam menerusi slot Samarinda di TV3.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *