March 28, 2026

Demi anak, Emma Maembong kekal sedondon dengan bekas suami

KUALA LUMPUR: Demi memastikan kemeriahan Syawal terus dirasai seisi keluarga, pelakon, Emma Maembong tidak berkira berbelanja apabila setiap tahun menyediakan kira-kira 20 pasang baju raya sedondon untuk ahli keluarganya.

Pelakon drama Kerana Cinta Itu Dusta itu berkata, dia tidak pernah menganggap usaha menyediakan persalinan sedondon sebagai beban, sebaliknya melihatnya sebagai pelaburan untuk mencipta kenangan indah bersama keluarga.

Katanya, kebahagiaan dapat berkumpul dan bergembira bersama adik-beradik pada pagi Syawal jauh lebih bernilai berbanding wang yang dibelanjakan.

“Mereka tidak pernah meminta, tetapi saya sudah terbiasa menyediakan baju raya untuk adik-beradik, ipar duai dan anak saudara.

“Bukan sebab saya banyak duit, kerana duit boleh dicari, tetapi kenangan bersama keluarga tidak boleh dibeli.

“Walaupun ada ketika kita rasa tidak cukup, saya tetap akan usahakan supaya kami sekeluarga dapat berpakaian sedondon.

“Ada juga adik-beradik yang ingin berkongsi atau membayar semula, tetapi saya lebih selesa menghadiahkannya kepada mereka,” katanya ketika ditemui di rakaman Melodi Raya 2026 di Saloma Kuala Lumpur, di sini, baru-baru ini.

Tidak hanya memberi perhatian kepada keluarga, Emma turut memastikan dirinya dan bekas suami kekal berpakaian sedondon demi kebahagiaan dua anak mereka.

Katanya, langkah itu penting supaya anak-anak tidak berasa kekurangan walaupun ibu bapa mereka tidak lagi bersama.

“Saya dan bekas suami memang akan berpakaian sedondon demi memori anak-anak. Saya tidak mahu ada apa-apa yang berubah walaupun kami sudah berpisah.

“Kadang-kadang ada yang hairan bagaimana kami masih boleh berbaik, tetapi bagi saya tiada masalah, asalkan setiap tahun anak-anak masih dapat merakam gambar keluarga bersama,” katanya.

Emma berkata, pengalaman membesar dalam keluarga yang berpecah menjadikan dia lebih memahami kepentingan sebuah potret keluarga lengkap.

“Saya tidak mahu anak-anak melalui pengalaman seperti saya yang tidak mempunyai gambar keluarga lengkap.

“Bagi saya, kenangan itu sangat penting untuk mereka simpan sampai bila-bila,” katanya.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *