SETIAP kali menjelang Syawal, satu tradisi yang disifatkan tidak boleh ditinggalkan ialah budaya berpakaian sedondon yang sering diperhatikan dalam kalangan keluarga kecil mahupun besar.
Konsep ini seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada identiti sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun ia bukan sekadar trend media sosial sebaliknya simbol kebersamaan, kesatuan dan nilai kekeluargaan yang berkembang seiring perubahan zaman.
Pensyarah Kanan, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perak, Muhammad Khalik Mustafa, berkata jika ditelusuri sejarahnya, budaya sedondon bukanlah sesuatu yang baharu kerana pada era 1980-an, konsep sedondon lebih bersifat sederhana dan praktikal.
Katanya, ketika itu kebanyakan keluarga menempah pakaian raya daripada tukang jahit yang sama. Potongan klasik seperti baju kurung dan baju Melayu bagi lelaki menjadi pilihan utama.
“Sedondon pada era ini lebih menekankan keseragaman warna sebagai lambang ‘kami satu keluarga’, tanpa perincian konsep atau koordinasi estetik yang kompleks.
“Memasuki dekad 1990-an, industri fesyen tempatan mula menunjukkan perkembangan yang lebih dinamik iaitu kain satin berkilau, songket moden dan warna-warna berani seperti perang tua, hijau zamrud dan biru diraja semakin mendapat tempat.
“Sedondon tidak lagi hanya terhad kepada warna semata-mata, malah membabitkan fabrik dan tekstur yang sama dan apabila dirakam, ia dilihat sebagai satu kebanggaan visual untuk dipamerkan dalam album keluarga,” katanya.
Jelasnya lagi, dalam menelusuri budaya sedondon, tidak dapat dinafikan peranan ikon fesyen tanah air yang memberi inspirasi kepada masyarakat, antaranya ialah Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, figura yang bukan saja dikenali sebagai penghibur tersohor, tetapi juga sebagai ikon gaya.
“Begitu juga dengan Allahyarham Jaafar Onn, yang disifatkan begitu berani dalam bermain corak dan warna menjadikan sedondon bukan sekadar padanan, tetapi satu ekspresi seni.
“Ketika era 2000-an dan 2010-an pula menyaksikan transformasi lebih ketara apabila butik dan jenama tempatan mula menawarkan koleksi raya seisi keluarga bagi memudahkan pengguna mendapatkan pakaian sedondon tanpa perlu menempah secara khusus.
“Sedondon dalam era ini bukan saja mengenai keseragaman, tetapi juga gaya dan identiti keluarga yang ingin ditampilkan kepada masyarakat.
“Memasuki dekad 2020-an, budaya sedondon semakin dipengaruhi oleh landskap digital di mana media sosial seperti Instagram dan TikTok menjadikan sambutan Hari Raya satu naratif visual yang dikongsi secara meluas.
“Tema warna dirancang lebih awal, sesi fotografi dilakukan secara profesional dan susunan visual diberi perhatian khusus,” katanya.

Muhammad Khalik berkata, dari sudut fesyen, sedondon boleh dikategorikan kepada beberapa jenis utama iaitu sedondon warna penuh, iaitu semua ahli keluarga mengenakan warna dan fabrik sama, yang bersifat klasik dan jelas menunjukkan kesatuan.
“Kedua ialah sedondon tona, di mana warna berbeza digunakan tetapi dalam spektrum yang sama, seperti gabungan rantaian warna ‘olive, sage dan moss green’. Pendekatan ini lebih sofistikated dan memberi dimensi visual yang lebih harmoni.
“Kategori ketiga ialah sedondon fabrik, di mana motif atau kain yang sama digunakan dalam potongan berbeza contohnya terdapat gaya baju kurung, baju Melayu daripada kain songket motif serupa.
“Keempat ialah sedondon tema, iaitu penyelarasan berdasarkan konsep tertentu seperti klasik tradisional, minimal moden atau warisan negeri.
“Dalam kategori ini, sedondon tidak hanya bergantung kepada warna, tetapi kepada keseluruhan naratif gaya,” katanya.
Beliau berkata, menariknya, budaya sedondon bukan hanya fenomena estetika kerana dalam konteks budaya Melayu-Islam, ia mencerminkan nilai keharmonian dan kesatuan.
“Ini kerana Aidilfitri adalah simbol kemenangan selepas sebulan berpuasa dan pemilihan pakaian yang selaras menggambarkan semangat kebersamaan dalam menyambut lembaran baharu.
“Sedondon menjadi bahasa visual yang menyampaikan mesej bahawa keluarga itu berdiri bersama dalam satu warna dan satu rasa, namun dalam keterujaan mengikuti trend, pengguna juga perlu bijak membuat pilihan.
“Sedondon tidak semestinya mahal atau berjenama tinggi kerana yang lebih utama ialah keselesaan, kesopanan dan kesesuaian dengan suasana,” katanya.
Mengimbas kembali, beliau berkata melihat evolusi daripada era 1980-an hingga kini, jelas bahawa sedondon semakin berkembang daripada satu amalan praktikal kepada satu ekspresi identiti keluarga.
Katanya, ia bergerak seiring perubahan sosial, kemajuan industri fesyen dan pengaruh teknologi digital.
“Walaupun gaya dan warna berubah mengikut zaman, maknanya tetap sama iaitu kebersamaan.
Akhirnya, sedondon bukan mengenai siapa paling menonjol atau paling bergaya di media sosial.
“Ia adalah kenangan yang dirakam dalam satu bingkai gambar, senyuman seisi keluarga yang berdiri rapat dalam satu tema warna.
“Dalam dunia yang semakin pantas dan individualistik, tradisi kecil seperti sedondon ini sebenarnya mengingatkan kita mengenai pentingnya kesatuan dan kasih sayang. Selagi Syawal diraikan, selagi itu sedondon akan terus menjadi warna kebersamaan dalam budaya kita,” katanya.
Tradisi keluarga, simbol keseragaman
PAKAIAN sedondon pada pagi Hari Raya semakin menjadi tradisi dalam kalangan keluarga kerana ia dilihat sebagai simbol keseragaman serta identiti sesebuah keluarga, selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Zainal Madon, berkata pakaian sedondon mencerminkan kesamaan dan keseragaman dalam sesuatu kumpulan termasuklah dalam sesebuah keluarga.

Katanya, apabila dipraktikkan dalam kalangan ahli keluarga, ia secara tidak langsung menjadi pengenalan atau identiti keluarga, khususnya ketika berkumpul dalam keluarga besar pada musim perayaan.
“Pemilihan pakaian sedondon pada Aidilfitri juga melambangkan rasa kesepunyaan atau ‘sense of belonging’ dalam kalangan ahli keluarga, sekali gus mempamerkan semangat kekitaan yang kuat.
“Apabila semua ahli keluarga tampil segak dan cantik dengan pakaian yang sedondon pada pagi raya, rasa kebersamaan itu menjadi lebih ketara. Suasana juga bertambah meriah, terutamanya ketika sesi bergambar kenangan atau semasa menziarahi sanak saudara,” katanya.
Beliau berkata, pada peringkat awal amalan itu mungkin dilihat sebagai satu trend atau gaya semasa, namun lama-kelamaan ia berkembang menjadi satu tradisi yang positif dalam institusi keluarga.
“Bagaimanapun, diingatkan supaya amalan itu tidak dilakukan secara berlebihan atau dijadikan medan untuk berlumba-lumba dan menunjuk-nunjuk.
“Yang penting ialah makna di sebalik amalan itu, bukan sekadar penampilan,” katanya.
Mengulas perbezaan antara generasi, beliau berpandangan bahawa kedua-dua generasi lama dan muda sebenarnya mempunyai persamaan dalam menghargai tradisi pakaian sedondon.
“Cuma perbezaan lebih ketara dari segi gaya atau corak busana, di mana generasi lama cenderung memilih rekaan tradisional manakala generasi muda lebih gemar gaya moden dan elegan.
“Walau bagaimanapun, tradisi kecil seperti berpakaian sedondon ini disifatkan mampu memupuk pelbagai nilai kekeluargaan, semangat kebersamaan, rasa kekitaan serta kebanggaan terhadap keluarga sendiri.
“Walaupun kelihatan sederhana, tradisi seperti ini sebenarnya membantu mengukuhkan hubungan dan identiti dalam sesebuah keluarga,” katanya.
Kredit : Berita Harian