April 2, 2026

Ahmad Aslam enggan komen kes cerai, rujuk dua kali terhadap Marissa

KUALA LUMPUR: “Maaf saya tidak ada apa-apa hendak komen, doakan yang baik-baik.”

Itu reaksi pempengaruh, Ahmad Aslam ketika ditemui pemberita sejurus berakhirnya prosiding lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini

Suami kepada pempengaruh Marissa Dania Hakim, 21, enggan mengulas lanjut berhubung lafaz cerai dan rujuk yang pernah dibuat sebanyak dua kali terhadap isterinya pada September 2024 dan April 2025.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Ahmad Aslam, iaitu Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, berkata prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk anak guamnya itu ditangguhkan ke tarikh lain dalam tempoh terdekat.

“Hari ini mahkamah tidak dapat buat keputusan lafaz cerai dan rujuk kerana terlalu banyak isu hukum syarak dan undang-undang yang perlu diputuskan.

“Ada beberapa perkara yang perlu mendapat ulasan dan pandangan daripada kitab fuqaha atau alim ulama.

“Jadi, mahkamah tidak dapat bagi keputusan pada hari ini. Mahkamah tetapkan tarikh untuk sambung bicara bagi pihak defendan (Marrisa), tetapi, tarikhnya tidak boleh didedahkan,” katanya.

Muhammad Ammar Yaser berkata, isu lafaz cerai dan rujuk harus mengikut al- Quran dan Sunnah, justeru aturan itu perlu dipatuhi.

“Contohnya, lafaz dalam keadaan sekian adakah lafaz itu sah ataupun tidak. Selain itu, rujuk dalam keadaan sekian, iaitu adakah dia jatuh sabitkan rujuk atau tidak.

“Jadi, keadaan tu masih belum dapat dijawab lagi oleh pihak-pihak. Oleh sebab pihak-pihak pun tidak dapat habiskan keterangan pada hari ini, jadi, kita tangguh pada satu tarikh lain,” katanya.

Menjelaskan mengenai kelewatan anak guamnya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah, beliau berkata, kelewatan itu bukanlah sesuatu yang disengajakan.

Sebaliknya, ia berpunca daripada komplikasi prosedur dokumentasi yang perlu dipatuhi berikutan perkahwinan anak guamnya dilangsungkan di luar negara.

Muhammad Ammar Yaser berkata, pemilikan sijil nikah yang sah adalah syarat wajib sebelum sebarang permohonan berkaitan perceraian atau rujuk boleh diproses mahkamah.

“Bagi pasangan yang berkahwin di luar negara, proses untuk mendapatkan sijil nikah rasmi lazimnya mengambil masa yang lama kerana perlu melalui fasa penguatkuasaan, pendakwaan dan pembayaran denda sebelum pendaftaran dapat dilakukan Jabatan Agama Islam.

“Seseorang yang ingin memfailkan pengesahan lafaz cerai dan rujuk diwajibkan memiliki sijil nikah terlebih dahulu.

“Bagi perkahwinan luar negara, dokumen hanya boleh diperoleh setelah melalui proses penguatkuasaan dan pendakwaan. Ini termasuklah pembayaran denda mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Dalam kes ini, kami mengambil inisiatif menggunakan kaedah alternatif dengan memohon salinan sah sijil nikah bagi mempercepatkan urusan tanpa perlu menunggu proses pendaftaran biasa yang lebih panjang,” katanya.

Tambahnya, langkah ‘bypass’ atau jalan pintas yang diambil pihak pembelaan bertujuan untuk memastikan permohonan anak guamnya dapat diteruskan melalui dokumen sokongan yang sah.

“Dengan adanya salinan sijil nikah, barulah prosedur perundangan di mahkamah dapat diteruskan bagi menentukan status perkahwinan dan perceraian pasangan terbabit mengikut peruntukan undang-undang syariah sedia ada,” katanya.

Selain itu, Muhammad Ammar Yaser menjelaskan defendan, Marissa tidak diwakili peguam, sebaliknya hanya mendapatkan khidmat nasihat daripadanya selaku peguam pihak plaintif.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *