KUALA LUMPUR: Pempengaruh Mek Yun, 29, menyangkal dakwaan gambar yang tular menunjukkan dirinya merangkul lengan personaliti media sosial, AndrianMrPov di platform Threads, baru-baru ini.
Menerusi hantarannya di Threads, hari ini, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yu Nee berkongsi gambar yang tular adalah hasil janaan kecerdasan buatan (AI) dan bukan gambar asli miliknya.
“Hanya ingin jelaskan, gambar yang sedang tular ini adalah AI, bukan Mek Yun. Lain benar muka Mek Yun (dalam gambar) itu.
“Mek Yun harap kalian jangan sesuka hati guna AI untuk buat dan kongsi perkara seperti ini,” tulisnya.
Mek Yun yang berketurunan Cina dari Kelantan ini berkata, mereka yang mengenalinya pasti sedia maklum bahawa dia sangat mementingkan batas dalam menjaga maruah dirinya.
“Siapa yang kenal Mek Yun, tahu Mek Yun memang jaga ‘boundaries’ (batas) bab ini. Terima kasih kerana memahami,” tulisnya lagi.
Meninjau ke dalam ruangan komen, rata-rata netizen turut mengecam tindakan individu yang sengaja menjana gambar Mek Yun bersama AndrianMrPov menggunakan AI.
“Jangan risau Mek Yun, kami tau ini AI dan kami kenal awak,” tulis warga maya.
“Dah lama ‘follow’ Mek Yun. Faham Mek Yun memang seorang yang jaga batas,” tulis netizen.
“Kenapa lah mereka suka sangat ‘over react’ ? Kalau gembira tengok Mek Yun dan AndrianMrPov, doakan lah yang terbaik untuk mereka,” tulis warga net.
Terdahulu, keakraban Mek Yun bersama AndrianMrPov mula menjadi bualan hangat netizen selepas tular video menunjukkan mereka keluar makan bersama.
Susulan penularan video itu, rata-rata warga maya seakan memberi ‘restu’ sekiranya pasangan berkenaan benar-benar menjalin hubungan cinta.
Kredit : Berita Harian