KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Isnin, disokong kelemahan mata wang negara itu dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0225/0425 berbanding dolar AS daripada 4.0295/0350 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata dolar AS kekal lemah susulan sentimen berhati-hati yang berpanjangan, dipengaruhi pendirian Presiden AS, Donald Trump, yang menyasarkan infrastruktur awam Iran bagi memastikan pembukaan semula Selat Hormuz.
Beliau berkata, harga minyak mentah Brent yang tinggi pada paras AS$110.47 setong menunjukkan tekanan inflasi dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang, manakala sentimen perniagaan dan pengguna masih lemah.
“Oleh itu, kami menjangka USD/MYR akan berada dalam julat antara RM4.03 hingga RM4.05 dalam tempoh terdekat berikutan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.23 peratus kepada 100.259 mata,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5172/5299 daripada 2.5247/5285 ketika ditutup pada Jumaat lalu, meningkat berbanding euro kepada 4.6299/6529 daripada 4.6513/6576 dan naik berbanding pound kepada 5.3041/3304 daripada 5.3326/3399.
Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1235/1398 daripada 3.1341/1389 pada Jumaat lalu, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.67/6.72 daripada 6.68/6.71, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 236.8/238.2 daripada 237.2/237.7 serta meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2918/3631 daripada 12.3585/3841 sebelum ini.
Kredit : Berita Harian