KUALA LUMPUR: Zul Ariffin mengakui soal jodoh bukanlah sesuatu yang difikirkan terburu-buru, sebaliknya, dia lebih selesa menilai perjalanan hidupdengan tenang terlebih dahulu.
Zul Ariffin atau nama penuh, Zulkifli Ariffin, 40, tidak dapat memberi bayangan bila dirinya akan berkahwin, namun, menetapkan sasaran tidak mencecah usia 50 tahun untuk bergelar suami orang.
“Soal bila saya nak kahwin? Tidak tahulah… Saya pun tidak tahu. Mungkin dalam lingkungan usia 40-an inilah, tidaklah sampai umur saya cecah 50-an,” katanya ketika ditemui pada majlis rumab terbuka Aidilfitri Seri Syawal Usanita di sini, baru-baru ini.
Ditanya mengenai dakwaan dia terlalu memilih pasangan, Zulkifli berkata, kekangan masa menjadi faktor utama yang membuatkan dia tidak terlalu menumpukan perhatian kepada soal kahwin.
“Hendak pilih pasangan pun perlukan masa. Masalahnya, saya tiada ada masa mahu pilih. Saya buat tidak tahu sahaja. Jadi, hari berlalu macam itu sahaja.
“Selepas itu, saya buat kerja sahaja. Kalau kita hendak buat sesuatu, kita kena fokus. Jadi. saya tidak fokus ke arah jodoh lagi,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan ‘diganggu’ mesej langsung (DM) daripada wanita dalam media sosial, bintang filem Tarung: Unforgiven itu tidak menafikan dia menerima DM hampir setiap hari. Namun, Zul menganggapnya sebagai tanda sokongan daripada peminat yang mengikuti kerjayanya.
“Memang ada orang DM hari-hari. Tetapi, saya tidak balas.,, Itu daripada peminat sahaja. Saya tidak marah pun.
“Kalau DM yang cari jodoh tiada pun. Banyak yang gatal dan mengarut-ngarut sahaja. Tetapi, sebenarnya, tiada apa-apa pun.
“Terutama apabila drama saya baru ditayangkan. Memang kecohlah DM sekejap. Tetapi, selepas itu, sudah okay. Insiden itu sebelum Ramadan. Jadi, apabila sudah puasa, orang fokus kepada perkara lain,” katanya.
Kredit : Berita Harian