April 11, 2026

Adakah sinar di sebalik perundingan keamanan AS-Iran?

Ketika 11 negara meminta warganegara mereka meninggalkan Israel kerana negara haram berkenaan diancam kemusnahan akibat diserang Iran, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat terdesak menamatkan peperangan secepat mungkin setelah hampir sebulan berlarutan di Asia Barat.

Iran juga meminta penyelesaian lebih konkrit terhadap keamanan di Asia Barat, tidak hanya dengan gencatan senjata. Pakistan dilihat cuba berperanan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan konflik antara AS dengan Iran.

Sebagai jaminan kepada penyelesaian konkrit ini, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menghubungi rakan sejawatnya daripada China, Wang Yi dan meminta negara berkenaan terbabit dalam perundingan berkenaan. Malah, Russia juga dijemput dalam perundingan yang bakal diadakan di Islamabad. Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dilihat bergerak aktif bagi memastikan perundingan damai kali ini membuahkan hasil.

Iran mahu berunding dengan wakil AS diketuai Naib Presiden, JD Vance dan Setiausaha Negar,a Marco Rubio. Iran tidak mahu Steve Witkoff dan menantu Trump, iaitu Jared Kushner terbabit kali ini kerana mereka berdua dilihat lebih mewakili Israel dalam perundingan berbanding menjaga kepentingan AS.

Israel pula dilihat tidak selesa dengan perkembangan terbaharu ini kerana tidak dijemput bersama dalam perundingan. Ini kerana Israel bertegas meneruskan peperangan yang berobjektif untuk menjatuhkan Kerajaan Iran. AS pula menyedari matlamat menjatuhkan Kerajaan Iran tidak akan berhasil. Malah, peperangan ini menjejaskan ekonomi global melalui sekatan terhadap Selat Hormuz dan mengancam kedudukan Trump sebagai Presiden AS.

Kumpulan Make America Great Again (MAGA), penyokong Trump mula berbalah dan mempersoalkan peperangan ini yang mula menjejaskan kehidupan mereka kerana peningkatan harga minyak.

Melihat kepada senario terkini, perkembangan menarik sedang berlaku memerlukan pemerhatian jitu melihat prospek keamanan di Asia Barat atau kemusnahan lebih menyeluruh kerana kegagalan perundingan diketuai Pakistan ini. Yang pasti, Iran sekarang berada dalam posisi baik dalam perundingan kerana dilihat pihak sedang memenangi peperangan ini.

Peperangan di Asia Barat bermula pada 28 Februari 2026 setelah AS dan Israel melancarkan serangan udara di beberapa kawasan di Iran seperti Tehran yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan beberapa pemimpin utama lain.

Tidak lama selepas itu, tampuk kepemimpinan Iran diserahkan kepada anaknya, Ayatollah Mojtaba Khamenei. Konflik ini secara tidak langsung mencetuskan krisis geopolitik paling besar dekad ini.

Peperangan ini jelas memberi impak kepada kepentingan keselamatan di rantau Asia Barat dan ekonomi global secara amnya. Kesalingbergantungan dunia masa kini menyebabkan konflik geopolitik di Asia Barat mampu mencetuskan kesan rantaian yang menjejaskan sistem kewangan, pasaran tenaga, perdagangan antarabangsa serta kestabilan ekonomi global termasuk Malaysia.

Berbalas serangan dengan peluru berpandu 

Setakat ini, peperangan memusnahkan semua pangkalan tentera AS di negara Teluk seperti Arab Saudi, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Qatar, Iraq dan Jordan yang dikatakan berjumlah 27 keseluruhannya. Kesemua kedutaan AS juga diserang Iran. Hezbollah di Lubnan juga membuka medan baharu peperangan di utara Israel dengan berbalas serangan Israel dengan peluru berpandu.

Negara haram Israel juga berhadapan dengan kemusnahan teruk terhadap bandar utama mereka seperti Tel Aviv dan Haifa. Secara khusus, kedudukan strategik Iran dan penutupan Selat Hormuz kepada laluan kapal daripada negara dilihat mesra kepada AS dan Israel menjadikan harga minyak dunia melambung naik. Ini menjadikan konflik ini sangat kritikal kepada ekonomi global dan domestik yang boleh menjejaskan semua negara kerana produk minyak dan berasaskan minyak akan naik harga dan menjejaskan pengguna seluruh dunia.

Penutupan Selat Hormuz oleh Iran menyebabkan trafik kapal menurun secara drastik, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga global. Dari sudut geopolitik, kawalan ke atas laluan ini memberi Iran kelebihan strategik untuk mempengaruhi ekonomi dunia dan menentukan hala tuju peperangan.

Antara kesan paling ketara ialah peningkatan harga minyak mentah. Konflik ini menyebabkan harga minyak Brent meningkat melebihi AS$100 satu tong dan bahkan mencecah paras lebih tinggi dalam pasaran tertentu.

Dalam keadaan ekstrem, harga minyak alternatif melonjak sehingga melebihi AS$150 satu tong akibat gangguan bekalan. Kenaikan ini berpunca beberapa faktor, antaranya gangguan pengeluaran minyak di negara Teluk, serangan ke atas infrastruktur tenaga, penutupan atau ancaman terhadap Selat Hormuz serta ketidakpastian geopolitik jangka panjang.

Penutupan Selat Hormuz menjejaskan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, menjadikannya krisis tenaga terbesar sejak 1970-an. Keadaan ini menyebabkan kekurangan bahan api di beberapa negara Eropah dan Asia, di samping gangguan kepada bekalan gas asli dan diesel.

Juga terkesan ialah keselamatan makanan kerana satu pertiga perdagangan baja untuk tanaman adalah melalui Selat Hormuz. Kenaikan kos logistik dan pengangkutan menyebabkan berlakunya krisis tenaga dan memperlihatkan bagaimana isu geopolitik mempengaruhi kestabilan ekonomi global.

AS dikatakan sedang menghantar seramai 1,000 tentera daripada 82nd Airborne Division dan 5,000 tentera marin ke Asia Barat tambahan kepada 50,000 tentera AS yang sudah berada di Asia Barat.

Melihat jumlah tentera AS, di samping yang sedang dibawa keluar daripada Iraq dan negara Teluk lain, sudah tentu tidak mencukupi untuk digerakkan menawan Iran yang mempunyai jumlah tentera Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), tentera simpanan, separa tentera dan militia lebih besar dengan jumlah penduduk seramai 92 juta orang. Kehadiran tentera itu mungkin untuk digerakkan bagi mengiring kapal keluar daripada Selat Hormuz dengan kebenaran Iran dan melindungi negara Teluk.

Secara umumnya, Iran mengemukakan enam perkara perlu dipenuhi AS bagi menamatkan peperangan antaranya menutup semua pangkalan tentera AS di Teluk Parsi dan menamatkan sekatan ekonomi terhadap Iran. AS juga mengemukakan 15 perkara, antaranya mengkehendaki Iran memberhentikan perancangan membangunkan senjata nuklear, peluru berpandu dan membuka semula Selat Hormuz.

Mengikut Wall Street Journal, semua tuntutan tadi ditolak sebelum rundingan bermula. Gencatan senjata sebulan diminta AS juga ditolak Iran. Yang pasti, Iran mempunyai kelebihan dalam tawar-menawar sebagai pihak sedang memenangi peperangan. Kita tunggu perundingan keamanan akan berlangsung antara AS dengan Iran nanti membuahkan hasil lantas melihat kemusnahan kepada negara haram Israel.

Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *