KUALA LUMPUR: Pelakon, Chacha Maembong menegaskan dia akan terus memberi sokongan moral dan berada di sisi kakaknya, Emma Maembong, susulan perpisahan aktres itu dengan kekasihnya, DJ Kid, baru-baru ini.
Chacha, 30, berkata dia tidak mahu mengulas lanjut mengenai hubungan kakaknya kerana percaya hanya individu terbabit yang lebih memahami situasi sebenar.
“Saya tidak berani bercakap bagi pihak kakak saya kerana pada akhirnya, bukan saya yang melalui kehidupan hariannya. Jadi, saya tidak tahu situasi sebenar yang dilaluinya.
“Namun, apa yang saya tahu, apa sahaja keputusan yang dibuat, sama ada mereka sudah berpisah atau sebaliknya, saya tetap akan sentiasa berada di sisinya,” katanya ditemui di Rumah Terbuka iQIYI semalam.
Chacha atau nama sebenar, Siti Aishah Ismail, berkata sokongan terhadap Emma tidak pernah berbelah bahagi walau apa jua keputusan diambil kakaknya itu dalam kehidupan.
“Dia tetap kakak saya dan saya akan terus menyokongnya sampai bila-bila. Cuma saya berharap orang di luar sana dapat mendoakan yang terbaik buatnya kerana dia sudah melalui banyak perkara.
“Saya rasa sekarang adalah masa untuk dia melalui proses penyembuhan diri dengan tenang,” katanya.
Chacha turut berharap orang ramai tidak memberi tekanan kepada kakaknya dengan spekulasi atau gosip yang boleh mengganggu emosi.
“Jika boleh, saya tidak mahu orang luar terus memberi tekanan dengan gosip-gosip seperti ini. Kedua-dua pihak sudah memandang ke hadapan.
“Kakak saya juga sedang melalui kehidupan yang lebih bahagia ketika ini. Jadi, biarlah keadaan itu kekal seperti sekarang,” jelasnya.
Mengulas keadaan terkini Emma, Chacha berkata aktres itu berada dalam keadaan baik meskipun sibuk dengan komitmen kerja.
“Keadaan Emma baik sahaja. Dia masih sibuk dengan penggambaran. Kami pun jarang berjumpa hampir setiap hari kerana masing-masing sibuk, tetapi setiap kali berjumpa, dia berada dalam keadaan baik.
“Dia seorang wanita yang sangat kuat, malah antara individu paling kuat yang pernah saya kenal,” katanya.
Chacha menambah Emma dilihat tabah dan tidak mudah menunjukkan kesedihan kepada umum.
“Jika ditanya keadaannya, dia seperti biasa dan tidak akan menunjukkan kesedihan di hadapan orang lain. Saya dapat lihat dia benar-benar sedang bahagia sekarang,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila DJ Kid mendedahkan dia tidak lagi mempunyai hubungan serius dengan Emma selepas setahun keakraban mereka menjadi perhatian netizen.
Emma atau nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail, 34, mengakui terkilan apabila hal kehidupan peribadi dikongsi secara umum, namun memilih untuk reda dengan situasi itu.
Kredit : Berita Harian