10 Tahun Menetap Di Singapura, Pasangan Ini Dedah Kenapa ‘Cabut’ Ke Malaysia
Tidak dapat dinafikan, menetap di Malaysia menjadi impian ramai, khususnya mereka dari luar negara.
Lebih-lebih lagi, Malaysia sering dilihat sebagai sebuah negara yang bukan sahaja indah dan aman, malah teratur, selesa serta prihatin terhadap kebajikan rakyatnya.
Ia mencerminkan komitmen dan keprihatinan negara terhadap kesejahteraan rakyatnya. Inilah yang menjadikan Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang membangun, tetapi sebuah negara yang berjiwa rakyat.
Itulah yang dikongsikan oleh pasangan dari India Sowmya dan Mothi apabila mengejutkan ramai untuk berpindah ke Malaysia selepas hampir sedekad membina kehidupan di Singapura.
Malaysia ‘Syurga’ Hidup Berkeluarga

Menerusi perkongsian di YouTube, pasangan itu mengakui Malaysia kini menjadi ‘rumah’ yang lebih sempurna buat keluarga mereka.
Kongsi Mothi, keputusan untuk berkelana ke Malaysia cukup berat buat mereka apatah lagi sudah mempunyai kenalan yang ramai di sana setelah 10 tahun menetap.
“Kami tinggal di Singapura selama hampir 10 tahun. Tiba-tiba, suatu hari kami nekad untuk kemas barang dan pindah ke Malaysia,” katanya.
Hartanah Yang Mesra Poket

Harga kediaman menjadi faktor utama yang mendorong mereka untuk berpindah.
Jika sebelum ini mereka terpaksa membayar sekitar SGD4,000 (RM12,500) sebulan untuk sebuah kondominium dua bilik seluas 750 kaki persegi di Singapura.
Kini mereka menikmati ruang yang jauh lebih luas. Di Bangsar, Kuala Lumpur, mereka menetap di kediaman hampir 2,000 kaki persegi pada kadar sewa yang jauh lebih murah.
“Di Malaysia, sewa di kawasan elit seperti Bangsar jauh lebih rendah. Anda dapat rumah yang lebih besar, selesa, dan selamat dengan kos kira-kira separuh daripada Singapura selepas tukaran wang,” kongsi mereka lagi.
Kos Sara Hidup Macam Pulang Kampung

Tidak dinafikan, kos sara hidup di Malaysia yang jauh lebih rendah berbanding Singapura. Bagi Sowmya, perkara ini cukup membuatnya lebih memilih negara ini.
“Paling saya suka, kita boleh beli ikut kuantiti kecil. Nak minta 200 gram atau barang harga RM3 pun boleh, sama macam suasana di India,” katanya lagi.
Malaysia ‘Syurga’ Makanan
Bila sebut tentang Malaysia, mana-mana orang luar pastinya jatuh cinta dengan variasi makanan di sini, dan itulah yang membeli jiwa mereka.
“Kami rasa lebih ‘at home’ di sini. Rakyatnya peramah, ada budaya jemputan ke rumah terbuka, dan hubungan dengan jiran lebih peribadi berbanding Singapura yang kadangkala terasa terlalu formal.’ kata mereka.
Bagaimanapun, dalam aspek tertentu Mothi dan Sowmya mengakui Singapura jauh lebih unggul

Antaranya dalam pengangkutan awam, sistem yang digunakan negara itu jauh lebih cekap hingga tidak terasa untuk menggunakan kereta, berbanding di Kuala Lumpur.
Dalam aspek keselamatan, Singapura antara negara contoh dan golongan wanita berasa lebih selamat untuk berjalan ketika waktu malam secara sendirian.
Kemudahan asas seperti air paip di Singapura boleh terus diminum, manakala di Malaysia perlu ditapis sebelum air boleh diminum.
Bagi mereka, kedua-dua negara ini mempunyai kelebihan dan bergantung kepada gaya kehidupan individu berkenaan.
Kredit : Siakap Keli