Ameng Spring simpan rahsia penganugerahan Datuk, elak harapan anak-anak terjejas
2 mins read

Ameng Spring simpan rahsia penganugerahan Datuk, elak harapan anak-anak terjejas

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Ameng Spring kini bergelar Datuk selepas dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-67 Baginda.

Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, berkata, dia bertindak merahsiakan perkara ini kepada semua pihak termasuk tiga anaknya.

“Ketiga-tiga mereka iaitu Wan Az Aleesa, Azeva Natassha dan Wan Ammar Haikal tidak diberitahu langsung. Mereka ingat saya datang Pahang untuk jayakan event biasa.

“Kami tak berani nak cerita takut tak jadi. Sehinggalah sahih saya terima pingat hari ini, barulah mereka tahu. Perasaan saya sebelum terima pingat sangat takut.

“Malah nak menyanyi depan raja pun saya tak takut macam ini. Ia sebab untuk ambil pingat ada banyak protokol. Ia membuatkan kita jadi takut,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya penganugerahan ini membuatkan dia amat berpuas hati apa yang dilalui selama ini.

“Apa yang kita kerjakan selama ini selama kita hidup selama hampir 60 tahun rasa ini kemuncak dialah. Kita rasa puas hati maknanya kita dah boleh tutup kes.

“Maknanya kita nak kejar apa pun tak payah lagi. Cuma sekarang ini kita bekerja macam biasa. Ya gembira itu dia mesti ada rasa gembira.

“Dan yang paling penting, saya dapat banggakan anak-anak saya sebab selama ini kan mereka dipalit dengan keluarga ‘broken family’ (ibu bapa berpisah), orang cakap macam-macam,” katanya.

Ameng berkata, dia selalu melihat Azeva melakukan sesi live dan orang bercakap mengaitkan dirinya yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan dengan kes banduan masuk penjara.

“Maknanya sekarang saya puas hatilah dengan pencapaian saya itu dan rasanya cukuplah. Perjuangan saya itu dapat pengiktirafan. Dan saya harap apa yang saya lalui ini menjadi satu pedoman untuk orang, jangan putus asa.

“Tak kisahlah siapa pun kita, ‘background’ (latar belakang) yang kita lalui sebelum ini pun, jangan kira benda itu. Apa yang berlaku itu jangan toleh belakang, dan yang penting jangan putus asa, insya-Allah kejayaan akan memihak kepada kita,” katanya.

Ameng berkata, gelaran tidak mengubah setiap perkara dalam hidupnya dan ia berjalan seperti biasa.

“Benda itu sama saja, tak ada pun memberi kesan. Maknanya pergaulan kita dengan netizen masih sama. Cuma yang lebih penting cara kita berpakaian, itu penting.

“Maksudnya pakaian masa persembahan. Masa kat luar tak apalah. Masa persembahan kita kena jagalah penampilan. Kita tak naklah pakaian koyak-koyak.

“Mereka dah pesan bila dah ambil pingat ini, jangan memberi imej yang buruk kepada Istana. Maknanya benda itu kita jaga. Kita jangan buat benda negatiflah.

“Saya juga tiada masalah bergurau, buat konten TikTok itu tak apa kerana ia sekadar hiburan, tak apa. Cuma dia jangan sampai peringkat memalukan pingatlah,” katanya.

Kredit : Berita Harian