1MDB: Najib Razak Gagal Tangguh Hukuman Penjara 15 Tahun, Denda RM11.4 Bilion Kekal
2 mins read

1MDB: Najib Razak Gagal Tangguh Hukuman Penjara 15 Tahun, Denda RM11.4 Bilion Kekal

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara selama 15 tahun serta denda RM11.4 bilion berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan berkenaan selepas Hakim Noor Ruwena Md Nurdin mendapati Najib, 73, tidak berjaya membuktikan kewujudan keadaan khas atau luar biasa yang membolehkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuannya.

Dalam penghakimannya, mahkamah turut mengambil kira bahawa Najib tidak lagi boleh dikategorikan sebagai pesalah kali pertama susulan sabitan terdahulu dalam kes SRC International.

Pemohon tidak lagi boleh dianggap sebagai pesalah kali pertama selepas sabitannya dalam kes SRC dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Kes 1MDB RM2.3 bilion

Najib sebelum ini didapati bersalah atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah kira-kira RM2.3 bilion.

Daripada jumlah tersebut, empat pertuduhan melibatkan kesalahan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan, manakala 21 lagi berkaitan pengubahan wang haram.

Kesalahan berkenaan melibatkan transaksi di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara tahun 2011 hingga 2014.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala pertuduhan pengubahan wang haram dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Hukuman penjara Najib Razak

Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bagi setiap empat pertuduhan salah guna kuasa, selain denda keseluruhan berjumlah RM11.38 bilion.

Beliau turut dikenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sekiranya gagal menjelaskan denda yang dikenakan, Najib berdepan hukuman penjara tambahan selama 10 tahun bagi setiap pertuduhan rasuah terbabit.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan hukuman penjara bagi kes 1MDB selama 15 tahun.

Hukuman tersebut dijadualkan bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International, yang dijangka berakhir pada 23 Ogos 2028.

Peguam Najib nak buat permohonan baru

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilaporkan akan mengemukakan permohonan baharu di Mahkamah Rayuan selepas memperoleh alasan penghakiman penuh.

Keputusan terbaharu ini menyaksikan hukuman penjara dan denda terhadap Najib dalam kes 1MDB kekal, tertakluk kepada sebarang keputusan lanjut melalui proses rayuan.

Kredit : Beautifulnara