Nasihat ibu mentua buat Bella Astillah dan Syed Saddiq
2 mins read

Nasihat ibu mentua buat Bella Astillah dan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Ibu bapa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, 34, iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Alsagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz Aljufri menitip pesan buat anak dan menantu mereka agar sentiasa sefahaman dan menjadikan agama sebagai panduan.

Sharifah Mahani dalam ucapan istimewa dan penuh makna menyifatkan anak bongsunya adalah seorang yang suka berdebat.

“Buat anak-anak kesayangan mama, Saddiq dan Bella. Apa yang mama dan abuya dapat katakan, perkahwinan ini bukan sahaja percintaan antara dua orang, tetapi tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilaksanakan.

“Ingat Saddiq, Bella, jadikan juga agama sebagai pedoman dan panduan dalam kehidupan. Penting, amat penting sekali, termasuk kasih sayang perlu sama rata.

“Sekarang Saddiq memikul tanggungjawab sebagai suami dan seorang ayah. Mama dan abuya kini hanya dapat berdoa semoga Saddiq dan Bella akan bahagia sampai ke jannah,” katanya.

Sharifah Mahani turut mengimbau kenangan lalu yang menghiburkan ketika bersama Syed Saddiq yang baginya bukan sahaja sangat gemar dan lantang berdebat di Parlimen, tetapi dalam urusan harian juga.

“Saddiq ini selalu di Parlimen, dia suka berdebat. Di mana-mana pergi sekalipun, termasuk kalau ke pasar pun, dia akan berdebat.

“Buat apa beli ayam, ayam tak bagus? Kenapa beli sayur, sayur tak bagus? Tetapi apabila dia sudah masuk dalam alam rumah tangga, perdebatan akan terus berlaku sayang. Cuma, berilah peluang Bella untuk menang,” katanya.

Kata Sharifah Mahani lagi, Syed Saddiq juga sebelum ini sering mengadu bahawa dia tiada sesiapa mahu mencium tangannya setiap kali sambutan Aidilfitri berbanding kakak dan abang yang sudah berkeluarga.

“Suatu ketika dulu mama teringat, apabila hari raya, Saddiq selalu berkata, boleh dikatakan setiap tahun, ‘Mama, Saddiq asyik cium tangan kakak, abang termasuk mama dan abuya, tapi tak ada orang nak cium tangan Saddiq.

“Sebab dia yang bongsu sekali. Tetapi kali ini, Alhamdulillah, tiga orang dalam kehidupannya yang akan cium tangan beliau. Isteri disayangi, Bella dan dua anak, Ara dan Ayden,” katanya.

Kredit : Berita Harian