Generasi strawberi kabur antara hak dan sikap

Generasi strawberi kabur antara hak dan sikap

PERNAH berlaku satu situasi apabila seorang pelajar latihan industri diberikan tugasan mudah penyelianya. Belum sempat tugasan itu disiapkan, sudah muncul pelbagai alasan.

Ada yang mengatakan kerja itu bukan dalam skop latihan, ada yang mempersoalkan mengapa perlu melakukan tugasan tambahan, malah ada yang mula mengaitkan jumlah elaun diterima dengan beban kerja diberikan.

Pendek kata, kalau elaun kecil, jangan harap kerja boleh diberikan banyak. Kalau tugasan bukan seperti dibayangkan, semangat mula hilang.

Kalau ditegur, terasa hati. Kalau diminta melakukan sesuatu di luar rutin, mula timbul persoalan mengenai hak dan tanggungjawab.

Persoalannya, sejak bila latihan industri menjadi medan untuk mengira berapa banyak kerja boleh dilakukan berdasarkan nilai elaun bulanan.

Bukankah tujuan utama latihan praktikal berada di organisasi adalah untuk belajar, mendapatkan pengalaman dan memahami realiti dunia pekerjaan.

Inilah antara gelagat sering dikaitkan dengan istilah ‘generasi strawberi’. Istilah kedengaran manis, tetapi membawa sindiran terhadap kelompok individu dikatakan mudah terasa, tidak tahan tekanan, cepat mengalah dan sukar menerima kritikan.

Istilah ini bukan merujuk kepada satu generasi tertentu secara khusus. Ia lebih kepada gambaran sikap dan mentaliti boleh ditemui dalam mana-mana kelompok umur. Namun, golongan muda, khususnya Generasi Z (Gen Z), sering menjadi sasaran label berkenaan.

Kenapa strawberi. Kerana buah ini kelihatan cantik, menarik dan segar di luar, tetapi dikatakan mudah lebam apabila ditekan. Begitulah analogi digunakan untuk menggambarkan individu kelihatan yakin dan berani, tetapi mudah lembik apabila berhadapan tekanan kehidupan sebenar.

Jangan salah faham. Bukan semua Gen Z begitu. Malah, ramai anak muda hari ini jauh lebih kreatif, berani bersuara, celik teknologi dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap hak pekerja. Mereka juga lebih terbuka membincangkan isu kesihatan mental, keseimbangan kehidupan dan persekitaran kerja yang sihat.

Namun, yang menjadi persoalan ialah apabila kesedaran mengenai hak mula disalahgunakan untuk mengelak tanggungjawab. Apabila setiap tugasan tambahan dianggap sebagai eksploitasi, setiap teguran dianggap sebagai serangan peribadi dan setiap kesukaran dilihat sebagai alasan untuk mengundur diri.

Di sinilah bermulanya pertembungan prinsip antara dua generasi. Golongan Baby Boomers dan Gen X membesar dalam budaya kerja lebih tradisional mungkin melihat ketahanan, kepatuhan dan kesanggupan melakukan pelbagai tugasan sebagai asas membina kerjaya.

Bagi mereka, tidak semua kerja perlu dipersoalkan dan bukan setiap teguran perlu dianggap sebagai serangan peribadi.

Generasi Y atau milenial pula berada di tengah-tengah perubahan. Mereka melalui zaman peralihan daripada budaya kerja konvensional kepada dunia digital, menyaksikan perubahan cara majikan mengurus pekerja dan mula menuntut keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan peribadi.

Gen Z datang dengan perspektif berbeza. Mereka mahu pekerjaan bermakna, persekitaran fleksibel, penghargaan terhadap sumbangan dan komunikasi lebih terbuka. Semua itu tidak salah. Malah, majikan juga perlu berubah mengikut perkembangan zaman.

Akan tetapi, apabila semua perkara mahu dirundingkan, setiap teguran dianggap toksik, setiap tugasan tambahan dianggap eksploitasi dan setiap kesukaran dilihat sebagai alasan untuk berhenti, bagaimana seseorang mahu membina daya tahan dalam kerjaya.

Kalau baru beberapa minggu bekerja sudah berkira mengenai tugasan, bagaimana pula apabila memasuki alam pekerjaan sebenar yang datang bersama sasaran prestasi, tarikh akhir, pelanggan cerewet dan tekanan pihak pengurusan.

Pekerja mesti tahu menyesuaikan diri

Lebih membimbangkan, dunia pekerjaan bakal diwarisi generasi muda hari ini tidak lagi sama seperti dilalui ibu bapa atau generasi terdahulu. Kemunculan kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital bakal mengubah cara organisasi beroperasi.

Dalam keadaan ini, pekerja bukan sahaja perlu memiliki kelayakan akademik, tetapi mesti pantas belajar, menyesuaikan diri dan bersedia melakukan sesuatu di luar kepakaran asal.

Persaingan juga tidak lagi terbatas kepada graduan dari universiti tempatan. Syarikat kini mempunyai pilihan mendapatkan bakat dari pelbagai negara menerusi sistem kerja jarak jauh dan platform digital.

Ini bermakna, pekerja muda yang hanya bergantung kepada sijil, tetapi tidak mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi, kreativiti dan disiplin, berisiko ketinggalan.

Mereka yang mudah menyerah apabila berhadapan kegagalan atau terlalu selesa dengan tugasan rutin mungkin sukar bertahan.

Justeru, generasi muda perlu memahami menuntut persekitaran kerja adil dan menghormati kesejahteraan pekerja bukan bermakna mereka boleh mengetepikan disiplin serta tanggungjawab.

Pada masa sama, golongan lebih ‘senior’ juga perlu bermuhasabah. Jangan terlalu cepat melabel anak muda sebagai manja, malas atau tidak tahan lasak.

Namun, pekerja muda perlu memahami dunia pekerjaan bukan sekadar tempat mendapatkan gaji, elaun dan kemudahan, tetapi ruang untuk menyumbang, belajar dan memikul amanah.

Akhirnya, masalah generasi strawberi bukan soal Gen X, Y atau Z. Ia soal sikap sendiri. Tidak kira berapa usia seseorang, jika tidak boleh menerima teguran, tidak mahu belajar daripada kesilapan dan sentiasa mencari alasan untuk mengelak tanggungjawab, sifat itu boleh tumbuh dalam mana-mana generasi.

Jangan sampai ketika dunia pekerjaan semakin keras dan persaingan semakin sengit, generasi strawberi masih sibuk mengira elaun, sedangkan majikan sudah mula mengira berapa banyak kerja boleh diserahkan kepada AI.

Penulis adalah Wartawan BH

Kredit : Berita Harian