KUALA LUMPUR: Penyanyi Tomok meluahkan rasa kesyukuran dengan membuktikan mampu berjaya dalam bidang pelajaran apabila menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Tomok atau nama sebenar, Shah Indrawan Ismail, 42, berkata pencapaian akademik itu adalah satu perjalanan yang amat bermakna buat dirinya.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan perjalanan ini. Selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Utara Malaysia (UUM), saya dapat habiskan pula pengajian sarjana di UPSI.
“Untuk diri saya sendiri, memang sangat gembira,” katanya kepada Harian Metro selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-28 UPSI, hari ini.
Dalam pada itu, Tomok turut memberi saranan kepada orang ramai khususnya generasi muda untuk menyambung pengajian dan tidak berhenti menimba ilmu walaupun memilih untuk berkecimpung dalam bidang muzik.
“Saranan saya kepada masyarakat terutama generasi muda, teruskanlah menimba ilmu.
“Walaupun minat dalam bidang muzik, sebenarnya dalam bidang ini pun ada banyak perkara yang boleh kita teroka dari sudut akademik dan sebagainya.
“Jadi, saya sarankan khususnya kepada generasi muda untuk terus berjuang dan mencari ilmu sejauh mungkin,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perancangan untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), Tomok mengakui belum mempunyai perancangan, namun tidak menolak kemungkinan sekiranya dikurniakan rezeki.
“Buat masa ini belum ada apa-apa perancangan lagi untuk sambung PhD.
“Tetapi insya-Allah, kalau diizinkan memang saya berhasrat untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD,” katanya.
Sebelum ini, Tomok berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif di UUM sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana pada tahun lalu.
Kredit : Berita Harian

