Muhyiddin Nafi Dakwaan Terlibat Dalam Pemberian Kontrak Kepada Syarikat Menantu

Muhyiddin Nafi Dakwaan Terlibat Dalam Pemberian Kontrak Kepada Syarikat Menantu

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) — Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan yang beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Presiden Bersatu itu menyifatkan laporan disiarkan dalam sebuah portal semalam berhubung perkara tersebut adalah fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalarkan maruah beliau dan keluarganya.

“Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata proses perolehan kontrak tersebut dibuat mengikut tatacara perolehan biasa di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan serta bukan berada di bawah bidang kuasa beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.

“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” katanya.

Bersatu buka ruang kepada KJ

Sebelum ini, Muhyiddin mengatakan bahawa Bersatu sedia untuk mempertimbangkan dan membuka ruang kepada pemimpin UMNO yang dipecat untuk menyertai mereka, lapor Astro Awani.

Menurutnya, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu lebih-lebih lagi apabila melibatkan permohonan penyertaan daripada pemimpin UMNO seperti bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau turut menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai seorang pemimpin yang berkaliber.

Muhyiddin turut menambah bahawa Khairy boleh mengemukakan permohonan beliau sekiranya berhasrat untuk menyertai parti mereka.

Khairy ini orang bijak pandai dan banyak orang suka. Tetapi tidak mengapa semua (yang dipecat) ini saya kenal (jadi) terserah kepada mereka kalau mereka rasa sesuai (sertai Bersatu).

“Kalau Khairy berhasrat untuk bersama menyertai (Bersatu), dia boleh buat permohonan, berbincang dan kita akan pertimbangkan secara baik,” katanya.

 

Kredit : Siakap Keli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *