LEBIH 15 tahun bergelar pelakon, Ummi Nazeera sudah faham dengan permainan dan sepak terajang dunia hiburan tanah air.
Ummi juga antara figura seni yang kurang terpalit kontroversi meskipun masih aktif dalam kerjaya lakonan.
Selain itu, Ummi juga dilihat bahagia melayari kehidupan dengan jejaka pilihannya, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani dan dua anak perempuan iaitu Ayra Aneesah, 5, dan Aysha Arsylia yang baru berusia setahun.
Menyedari isu yang sedang hangat dalam industri seni mengenai pelakon yang terjebak cinta lokasi, Ummi berasa terpanggil untuk memberi nasihat kepada pelakon baharu yang ingin mencari rezeki dalam bidang itu.
Ummi berkata, cinta lokasi yang wujud akan mengakibatkan seseorang pelakon itu hilang fokus terhadap kerja sekali gus mengganggu proses penggambaran.
“Bagi pelakon yang baharu memasuki dunia penggambaran, perasaan ingin kenal dengan rakan pelakon lain itu sangat tinggi sehingga akan mewujudkan cinta lokasi. Cuma nasihat saya sebagai pelakon senior jangan cuba-cuba.
“Berdasarkan pengalaman yang terjadi depan mata, seeloknya jangan ada cinta lokasi. Ini kerana perkara itu akan mengganggu fokus dan kerja orang lain di set.

“Bayangkan kalau mereka berdua bergaduh, secara automatik akan merosakkan proses dan kerja orang di belakang tabir. Akhirnya tak boleh teruskan penggambaran.
“Kalau individu itu nak menyusahkan dirinya sendiri ia adalah pilihannya. Tapi kalau dia mengganggu kerja orang lain, ia akan menjejaskan urusan pelbagai pihak. Macam mana nak minta maaf dengan orang lain itu?,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai isu cinta lokasi, Ummi berkata, seeloknya perasaan suka disimpan terlebih dulu dan diluahkan selepas selesai sesi penggambaran.
“Kalau masih ada cinta mengapa tidak? Cuma saya rasa simpan dan pendam dulu perasaan itu sehingga habis penggambaran.
“Saya pernah lihat pasangan cinta lokasi yang bergaduh di set penggambaran. Bila tengah marah nak kawal emosi pun susah,” katanya.
Bayaran tinggi
Menyentuh mengenai pelantikan sebagai duta produk tudung yang dikatakan menerima bayaran tinggi sehingga mencecah enam angka, Ummi memilih untuk mengunci mulut.
Jika dilihat bayaran seumpama itu tidak mustahil diterima oleh selebriti yang dikategorikan dalam pelakon kelas A. Malah, lakonan pelakon berusia 33 tahun itu sememangnya berbekas di hati penonton.
Siapa boleh lupa lakonan Ummi sebagai Salina dalam drama Rindu Kasih yang mendapat perhatian ramai terutama dalam babak pergaduhannya bersama ibu mentua lakonan Fazlina Ahmad Daud.

Malah sebelum itu, drama Risik Pada Hati menjadi fenomena apabila babak Hayfa lakonan ibu kepada dua anak ini ‘menghambur’ segala rasa hati yang terbuku kepada suaminya Adam lakonan Alif Satar sekali lagi berjaya memukau penonton setia drama itu.
Ditanya mengenai sejauh mana kebenaran gosip terbabit, Ummi sekadar memberi jawapan ringkas kepada rakan media.
“Biarlah rahsia. Apa yang pasti setiap bayaran itu setimpal dengan hasil kerja yang saya lakukan,” katanya.
Kredit : Harian Metro