KUALA LUMPUR: Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB), kembali untuk edisi ke-17 bermula 29 Januari hingga 2 Februari di Pasar Seni.
Menghimpunkan 53 pempamer, KLAB dianjurkan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), dengan kerjasama Buku FIXI dan The Patriots, selain turut mendapat sokongan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Pengasas KLAB, Amir Muhammad, berkata ini kali ketiga berturut-turut KLAB diadakan di Pasar Seni dan sambutan daripada pempamer sangat meriah.
“Semua tapak jualan penuh hingga kami terpaksa menolak beberapa permohonan.
“KLAB mengumpulkan pelbagai jenis penerbit, dari yang besar kepada yang kecil dan antara keistimewaan tahun ini adalah pempamer Marjin Kiri dari Indonesia.
“Slot pentas akan diisi dengan acara pelancaran dan diskusi buku,” katanya.
KLAB menghimpunkan buku-buku pelbagai genre selain disajikan aktiviti seni jalanan, juga memberi peluang kepada pengunjung yang berminat dalam kerjaya bidang penerbitan.
Edisi tahun lalu menyaksikan pesta buku ini menarik kunjungan mencecah 60,000 orang, manakala penganjur mensasarkan kunjungan sekitar 60,000 hingga 70,000 pengunjung pada edisi kali ini.
KLAB adalah acara perbukuan yang dimulakan sejak 2008. Selain berjaya merangsang produktiviti perbukuan di Kuala Lumpur, KLAB juga mengumpulkan ribuan penulis tempatan serta mencipta bakat baharu pengarang.
Kredit : Berita Harian