PUCHONG: Penyanyi Sufian Suhaimi, 33, mengakui hubungannya bersama gadis bernama Rania Al Sadat kembali bertaut sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, Sufian menafikan bakal menikahi Rania dalam masa terdekat.
“Gambar dimuat naik bukan beri bayangan apa-apa. Saya dan Rania kembali bersama, tapi belum nak kahwin.
“Rania kekasih saya sekarang. Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan baik-baik bila saya bersama dengan Rania.
“Kami harap ada sinar, tapi saya tak berani nak cakap bila akan berkahwin. Insya-Allah, saya bersedia berkahwin jika sampai jodoh,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu duet bersama Sarah Suhairi berjudul Dengan Lafaznya di Rusa Cafe, petang tadi.
Sufian berkata, dia sudah bersedia mendirikan rumah tangga, tapi belum ada tarikh tetap.
“Sudah tentu bila ada pasangan, saya rasa tiada benda lain yang saya nak tunggu. Kalau sesuai, semuanya baik, direstui ibu bapa, kami bersedia, jadi tak perlu tunggu lama.
“Mungkin saya akan terus berkahwin, tiada majlis pertunangan. Tapi, tarikhnya tak tahu lagi sama ada tahun ini atau bila, insya-Allah doakan saya,” katanya.
Dalam pada sama, Sufian menafikan punca perpisahan sebelum ini disebabkan orang ketiga.
“Tiada orang ketiga bila kami berpisah. Saya rasa komunikasi adalah kunci bagi sesebuah hubungan.
“Kita kena berkomunikasi daripada sekecil hingga besar perkara,” ujarnya.
Sebelum ini, Sufian mengesahkan hubungan cintanya dengan Rania berakhir apabila cincin merisik dipulangkan, April tahun lalu.
Namun, terdapat khabar angin mendakwa cinta mereka bertaut kembali selepas dilihat meluangkan masa bersama di beberapa lokasi.
Dalam perkembangan lain, Sufian juga menafikan lagu Dengan Lafaznya dilancarkan ekoran gimik percintaannya bersama Rania.
“Apa yang berlaku hari ini bukan idea atau perancangan saya. Selepas perbincangan dengan Rusa Music barulah mereka beritahu mahu menjadikan Dengan Lafaznya sebagai lagu perkahwinan. Sebab itulah tema perkahwinan untuk sidang media hari ini.
“Ia bukan ‘hint’ atau apa akan berlaku dalam hidup saya atau Sarah. Tapi, ia bukan semata-mata lagu cinta, tapi lebih daripada itu.
“Baru-baru ini, ada ahli keluarga diuji dengan kanser. Dia menggunakan lagu sebagai latar untuk momen bersama keluarga kecilnya. Dari situ, saya sedar lagu juga mengenai kita menghargai orang disayangi,” katanya.
Dengan Lafaznya adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Aiman Sidek, kolaborasi pertama buat dan Sarah selepas bersama Rusa Music.
Kredit : Berita Harian