Israk Mikraj manifestasi nikmat, sengsara kehidupan abadi

KETIKA tular warga maya takjub dengan ramalan kemungkinan tujuh planet akan berada dalam orbit sebaris pada hari Israk Mikraj, mungkin ramai alpa Allah memaparkan kesinambungan risalah-Nya melalui pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan nabi di tujuh tingkat langit berbeza ketika Israk Mikraj.

Peristiwa ini manifestasi kesatuan risalah agama Samawi yang perlu dihayati dari sudut keesaan Allah, kesepaduan dunia akhirat, pengukuhan keperibadian serta penegasan Islam sebagai agama syumul bagi seluruh manusia.

Israk Mikraj disambut pada 27 Rejab Hijrah bersamaan 27 Januari 2025, peristiwa penuh hikmah dan pengajaran untuk panduan kehidupan umat manusia. Selain anugerah solat sebagai perantara hubungan dengan Allah, peristiwa dalam Israk Mikraj membayangkan pengukuhan tradisi beragama dan semua syariat bersumberkan daripada Yang Maha Esa.

Pertemuan Baginda dengan beberapa nabi dalam perjalanan Mikraj bukan sahaja meneguhkan pengalaman rohani risalah Islam dengan agama Samawi sebelumnya, tetapi membawa mesej sejagat mengenai kesatuan manusia di bawah Tuhan Yang Esa.

Peristiwa ini memperlihatkan Nabi Muhammad SAW adalah kesinambungan terakhir daripada rangkaian nabi, sekali gus menjadi penghulu kepada mereka semua. Al-Quran menguatkan lagi hujah ini dalam Surah al-Maidah, ayat 3 bahawa Islam adalah agama sempurna dan tiada lagi syariat atau agama lain selepas kesempurnaan Islam sebagai agama diredai-Nya.

Israk (perjalanan malam) Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin adalah satu petunjuk Al-Aqsa As-Syarif bukan bumi tiada makna, tetapi realitinya sehingga hari ini rebutan agama dan dunia. Tidak hairanlah Salahuddin al-Ayubi pernah mengungkapkan: ‘Sesiapa menguasai bumi Palestin bererti dia menguasai dunia’.

Mikraj iaitu perjalanan dari langit dunia ke sidratul muntaha, Nabi Muhammad SAW bertemu dengan nabi bagi agama besar dunia iaitu Nabi Isa AS ketika di langit kedua, Nabi Musa AS di langit keenam, begitu juga dengan Nabi Ibrahim AS di langit ketujuh.

Perjalanan Mikraj tidak meninggalkan Nabi Adam AS bagi menunjukkan keterikatan sejarah agama samawi dengan asal-usul manusia. Begitu juga Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan Nabi Yusuf AS di langit ketiga, Nabi Idris AS di langit keempat), Nabi Yahya di langit kedua dan Harun AS di langit kelima.

Pertemuan ini untuk mengajak kita merenungi karakter manusiawi yang tinggi untuk diteladani. Secara ringkas, karakter boleh dijadikan teladan adalah khalifah di muka bumi Nabi Adam AS, ketaatan Isa dan Yahya kepada Allah, kesabaran dan integriti Nabi Yusuf, keilmuan dan ketakwaan Nabi Idris, persaudaraan dan kebijaksanaan Nabi Harun dan pembebasan penindasan Nabi Musa.

Semakin kuat pegangan agama, semakin tinggi keperibadian murni seseorang. Maksud beragama adalah menterjemahkan keperibadian seorang dalam faham ad-din antara lain maknanya adalah

● Proses merasai berhutang manusia kepada Pencipta yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada dan kewajipan patuh segala perintah Pencipta.

● Proses membangunkan tamadun sebagai khalifah di muka bumi.

● Menerima dan tunduk kepada syariat serta ketetapan Allah.

● Fitrah manusiawi sentiasa mencari adanya tuhan mengatur alam semesta.

Jika diperhalusi, apa yang jelas adalah agama menjadikan seseorang mempunyai pegangan, pendirian dan tingkah laku selari seperti disangkakan kepercayaan mereka.

Di sinilah hikmah keharmonian risalah dan syariat ajaran berakhlak mulia dengan Pencipta, sesama manusia, makhluk lain serta alam semesta.

Semua tindakan dan amalan dipertanggungjawabkan, malah kekuasaan Allah ke atas setiap diri akan memastikan dirinya sentiasa berada di landasan sebenar walaupun tidak dilihat orang lain.

Perkara ini digambarkan dalam bentuk balasan mendapat kenikmatan atau seksaan bergantung perbuatan mereka lakukan di dunia.

Di syurga, Baginda menyaksikan kenikmatan disediakan untuk orang beriman. Di neraka, Baginda melihat azab menanti golongan ingkar sebagai peringatan umat manusia akibat pilihan mereka di dunia.

Malaikat Jibril menjelaskan kepada Nabi SAW makna setiap seksaan itu, menekankan dosa menyebabkan azab berkenaan sebagai peringatan kepada umat manusia.

Namun, kesibukan manusia mengejar pembangunan sering kali menjadikan mereka alpa untuk mengambil pengajaran daripada fenomena alam.

Ketika manusia berlumba-lumba mencipta teknologi canggih, mereka sering terlupa kebesaran Allah menciptakan segala-galanya dan mengasingkan agama daripada kehidupan.

Sikap ini mencerminkan kelemahan manusia menyeimbangkan kemajuan kebendaan dan kerohanian serta cenderung gagal menjaga alam sekitar, menghormati hak makhluk lain dan membangunkan tamadun berlandaskan prinsip keadilan serta kesejahteraan.

Dalam konteks semasa, kebesaran Allah terus terpancar melalui fenomena alam dan kehidupan sering kali tidak terjangkau akal manusia.

Dua peristiwa terkini mengingatkan kita kepada kekuasaan-Nya ialah kebakaran besar di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan ramalan fenomena falak tujuh planet beredar sebaris pada 25 Januari ini.

Islam bukan agama terputus daripada sejarah agama besar dunia, tetapi hadir sebagai pelengkap dan pembimbing manusia ke arah tunduk kepada Allah Maha Esa.

Demikianlah Israk Mikraj bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi mengandungi hikmah sepanjang zaman. Jibril mengiringi Nabi sehingga batas Sidratul Muntaha dan menjelaskan Baginda perlu meneruskan perjalanan seorang diri untuk bertemu Allah.

Demikian juga nasib manusia nanti, akhirnya pulang bertemu Pencipta seorang diri. Sebagai pesanan, Saidina Umar al-Khatab RA mengingatkan dirinya mengenai kematian dengan memakai cincin terukir perkataan bermaksud ‘Cukuplah kematian sebagai peringatan, wahai Umar’.

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *