‘Artis perlu peka, jaga tutur kata elak ugutan’

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyarankan artis lebih berhati-hati muat naik hantaran atau berjenaka dalam media sosial bagi mengelakkan kes ugutan.

Sedar dengan peningkatan kes ugutan membabitkan artis dalam media sosial, Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata sebagai individu berpengaruh perlulah lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat.

“Perkara ini membabitkan kuasa polis buat siasatan dan tangkapan mengenai ugutan jenayah.

“Saranan SENIMAN kepada artis supaya lebih berhati-hati terutama ketika menggunakan media sosial.

“Ini kerana, mungkin apa yang dikeluarkan akan menjadi tumpuan masyarakat hingga timbul ugutan atau apa saja bentuk jenayah.

“Artis adalah individu berpengaruh, sebab itulah perlu berhati-hati dan jaga tutur kata,” katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Zed turut memberi saranan kepada artis yang menjadi mangsa ugutan untuk terus membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Zed berkata, aduan kepada MCMC akan membantu mangsa mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang membuat ugutan.

“Kalau kecaman dan ugutan banyak kita tengok dalam media sosial. Selain kuasa polis, satu lagi penguatkuasaan melalui MCMC.

“Untuk artis diugut dan merasakan ia satu bentuk ancaman untuk mereka dan keluarga, boleh buat dua aduan kepada polis atau MCMC.

“MCMC boleh bantu kesan siapa yang membuat ugutan menerusi media sosial. Mereka boleh bantu ambil tindakan melalui bidang kuasa yang menjaga media sosial dan perkara berkaitan internet,” katanya.

Zed berkata, isu membabitkan ugutan terhadap artis semakin berleluasa dalam dunia yang terdedah dengan arus teknologi.

“Artis memang terdedah dengan pelbagai perkara berbaur ancaman termasuk jenayah. Kebanyakan artis menjadi tumpuan kerana memiliki ramai pengikut dalam media sosial,” katanya.

Terdahulu, pelawak Harith Iskander dan isteri, Dr Jezamine Lim berdepan ugutan membabitkan keluarga oleh seorang pengguna media sosial.

Ancaman dipercayai dibuat selepas Harith memuat naik hantaran dalam media sosial mengenai topik ‘ham’ dan disambut pengikutnya dengan pelbagai komen termasuk didakwa mengaitkan nama Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, seorang tukang rumah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret pada 31 Januari lalu. Individu terbabit dipenjara lima bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret.

Sebelum itu, penyanyi Baby Shima berdepan ugutan bunuh dalam media sosial sebelum membuat persembahan pada acara MOTAC Bersama Komuniti Sibu sempena ambang Tahun Baharu di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya, Sibu, Sarawak pada 31 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, lelaki yang membuat komen berbaur ugutan bunuh terhadap penyanyi berkenaan di Facebook (FB) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sibu, Sarawak pada 3 Januari lalu.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *