Piala Sudirman: Ketiadaan Zii Jia dirasai

KUALA LUMPUR: Ketiadaan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Sudirman kali ini tetap dirasai walaupun barisan pasukan negara dilihat hampir sempurna, khususnya dalam acara beregu.

Pemain beregu campuran profesional, Goh Soon Huat yang diminta mengulas mengenai senarai pemain kali ini mengakui terdapat sedikit kekurangan tanpa kehadiran Zii Jia yang terpaksa diketepikan kerana masih menjalani proses pemulihan kecederaan buku lali yang dialaminya sejak Jelajah Dunia Akhir BWF, Disember lalu.

“Kita kurang Zii Jia, namun dari sana kita akan cuba yang terbaik untuk dapatkan satu mata buat Malaysia.

“Lagipun ini kejohanan berpasukan. Kita semua satu pasukan – menang atau kalah pun satu pasukan juga. Jadi kami semua akan cuba saling menyokong antara satu sama lain,” kata Soon Huat ketika ditemui selepas sesi latihan hari pertama kem latihan pusat skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia, dengan Jepun dijangka menjadi cabaran utama dalam perebutan status juara kumpulan.

Soon Huat yang bakal bergandingan bersama Shevon Lai Jemie berkata, mereka sentiasa bersedia untuk diturunkan dan terbuka dengan sebarang percaturan taktikal yang dirancang barisan kejurulatihan.

“Semua bergantung kepada strategi yang akan ditentukan oleh jurulatih. Di sana nanti, jurulatih akan berbincang dan mungkin juga akan ada pertukaran pasangan bergantung kepada kesesuaian serta kekuatan lawan,” katanya.

Sebagai pengganti Zii Jia, dua pemain muda – Leong Jun Hao dan Justin Hoh – akan menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki, manakala Goh Jin Wei dan K Letshanaa diberikan kepercayaan dalam perseorangan wanita.

Skuad negara turut diperkuatkan dengan tiga beregu lelaki iaitu juara Asia yang baharu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Beregu wanita pula menyaksikan gandingan utama Pearly Tan-M Thinaah disokong pasangan muda, Go Pei Kee-Carmen Ting.

Untuk acara beregu campuran, selain Soon Huat-Shevon, turut disenaraikan ialah Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin serta kemungkinan gandingan semula Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

“Setiap pemain ada tanggungjawab masing-masing. Apa yang penting, kami semua akan berjuang sebagai satu pasukan demi mengharumkan nama Malaysia,” tambah Soon Huat.

Piala Sudirman dijadual berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.

Senarai pemain Malaysia Piala Sudirman 2025:

Perseorangan lelaki

Leong Jun Hao

Justin Hoh

Perseorangan wanita

Goh Jin Wei

K Letshanaa

Beregu lelaki

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani

Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Man Wei Chong-Tee Kai Wun

Beregu wanita

Pearly Tan-M Thinaah

Go Pei Kee-Carmen Ting

Beregu campuran

Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *