Awasi produk makanan diambil kanak-kanak

TRAGEDI menyayat hati membabitkan seorang kanak-kanak 10 tahun yang meninggal dunia akibat gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata sangat mengejutkan negara.

Kejadian itu membuktikan isu keselamatan makanan menjadi keperluan utama yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak kerana tidak semua makanan, walaupun dijual dalam pasaran terbuka, selamat untuk kanak-kanak.

Ia perlu menjadi perhatian memandangkan sistem pemasaran dalam masyarakat hari ini tidak lagi dilakukan secara konvensional atau dipaparkan menerusi kaca televisyen mahupun di rak-rak makanan kedai runcit semata-mata, tetapi ia mudah diperoleh dalam jualan dalam talian.

Makanan viral juga sentiasa menjadi pilihan ramai kanak-kanak disebabkan fokus mereka hari ini beralih kepada isi kandungan yang disiarkan menerusi telefon bimbit dan pastinya banyak pengiklanan menyasarkan mereka.

Mengulas perkara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Prof Madya Dr Norazmir Md Nor, berkata terdapat banyak makanan yang berbahaya dan tidak sesuai untuk dinikmati kanak-kanak hari ini, sekali gus boleh memberi kesan kepada tahap keselamatan dan kesihatan mereka.

Beliau berkata, kanak-kanak kecil khususnya berusia lima tahun perlu diberi makanan bersesuaian kerana mereka belum mahir untuk mengunyah makanan dengan sempurna.

Katanya, makanan viral seperti ‘gummy’ berwarna-warni pastinya akan membuatkan kanak-kanak teruja, sekali gus mereka akan menelannya tanpa mengunyah dengan betul.

“Terdapat ciri-ciri makanan yang selamat untuk kanak-kanak di bawah usia lima tahun, iaitu lembut dan mudah dikunyah seperti pisang dan betik. Makanan yang perlu dipotong perlu mempunyai saiz potongan yang bersesuaian, iaitu bersaiz kecil dan tidak bulat untuk mengelakkan risiko tercekik.

“Yang pasti, ia haruslah rendah gula dan garam serta tidak mempunyai bahan tambahan tiruan. Makanan dipilih perlu kaya dengan nutrien dan mengandungi kandungan vitamin, mineral, serta serat tinggi untuk menyokong pertumbuhan kanak-kanak,” katanya kepada BH.

Pensyarah Kanan Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan dan penyelidik Integrated Nutrition Science And Therapy (INSPiRE) itu berkata, tekstur kenyal dan melekit seperti gula-gula ‘gummy’ amat berisiko tinggi untuk dimakan kanak-kanak kerana ia sukar dikunyah sepenuhnya dan boleh melekat di tekak, seterusnya menyekat saluran pernafasan.

Beliau berkata, saiz yang bulat dan besar juga sangat berbahaya kerana mudah tersekat di kerongkong kanak-kanak.

“Makanan sebegini juga mempunyai kandungan gula tinggi yang boleh menyebabkan peningkatan berat badan tidak sihat, malah mengganggu kesihatan mulut kerana mengakibatkan karies gigi.

Pengambilan ‘gummy’ berlebihan boleh mengurangkan selera makan terhadap makanan berkhasiat.

“Lebih membimbangkan, ia menyumbang kepada masalah hiperaktif disebabkan oleh pewarna dan perisa tiruan. Pengawet serta pewarna juga boleh menyebabkan sakit perut atau cirit-birit,” katanya.

Dr Norazmir berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih besar dalam mengenali produk makanan yang mematuhi piawaian keselamatan makanan.

Katanya, ibu bapa perlu mengelakkan produk tanpa label kerana sekiranya produk itu tidak dilabel dengan betul, ia mungkin tidak mematuhi piawaian keselamatan.

“Antara perkara paling mudah ialah membaca label dan memastikan produk mempunyai label yang jelas dengan senarai bahan, tarikh luput, dan maklumat nutrisi.

“Lihat sijil pengesahan, contohnya logo Kementerian Kesihatan, HALAL, atau Pilihan Lebih Sihat (Healthier Choice Logo) atau sijil lain yang menunjukkan produk selamat dan berkualiti,” katanya yang menasihati ibu bapa supaya memilih produk rendah gula dan bahan tambahan.

Tambah beliau, ibu bapa perlu tegas dalam memilih makanan untuk anak-anak mereka. Contohnya, pemilihan makanan semula jadi seperti buah, sayur, dan yogurt tanpa tambahan gula perlu diberi perhatian utama.

“Kurangkan pengambilan jajan dan gula-gula yang tinggi kandungan gula dan garam. Malah, ibu bapa perlu tahu saiz makanan yang sesuai untuk anak-anak mereka.

“Selain merujuk pakar pemakanan atau dietetik, dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan untuk merancang diet yang sesuai untuk anak-anak. Ibu bapa juga boleh merujuk garis panduan kesihatan rasmi seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Selain ibu bapa, Dr Norazmir menegaskan pihak berkuasa juga harus memainkan peranan dalam memastikan produk makanan selamat untuk kanak-kanak, antaranya dalam aspek penguatkuasaan peraturan dengan memastikan produk makanan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Katanya, pemantauan dan pensijilan perlu dilaksanakan, khususnya membabitkan logo Kementerian KKM dan HALAL bagi produk selamat dan berkualiti.

“Paling penting adalah tindakan tegas, iaitu mengharamkan atau menarik balik produk yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.

“Mereka juga harus memberi pendidikan kepada orang ramai, terutama ibu bapa atau penjaga, mengenai pemilihan makanan yang selamat untuk kanak-kanak,” katanya.

INFO

Makanan berisiko tinggi menyebabkan tercekik:

1) Makanan keras: kacang, gula-gula keras, atau bijirin kering.

2) Makanan kecil dan bulat: buah anggur, ceri, atau tomato ceri.

3) Makanan melekit: marshmallow, mentega kacang pekat, atau keju lembut.

4) Makanan berserat: daging yang tidak dipotong halus/ saiz kecil/ nipis, sayuran mentah seperti lobak merah.

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *