Farid Kamil, Diana Danielle mula proses JKP, Selasa ini

KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, akan memulakan proses di bawah Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka, minggu depan, selepas aktor terbabit enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.

Farid dan Diana dijangka memulakan proses JKP, Selasa ini.

Pengurus Farid, Azahari Hamid berkata, Farid tetap dengan pendirian mempertahankan rumah tangga mereka.

“Iya, mengikut perintah mahkamah, Farid dan Diana akan menghadiri proses JKP, Selasa ini. Pendirian Farid masih sama, iaitu mahu menyelamatkan rumah tangga.

“Namun, selepas JKP barulah kita boleh tahu hasil daripada pihak sana. Namun, Farid mahu menyelamatkan (rumah tangga) kerana mereka ada anak bersama.

“Jadi, selagi boleh usaha untuk menyelamatkan (rumah tangga), Farid akan berbuat demikian. Kita tunggu sahaja maklum balas daripada pihak sana,” katanya.

Azhari berkata, ketika ini, emosi Farid agak terganggu, namun, terkawal.

“Namun, masih boleh dikawal. Sebelum ini, setiap kali sebelum pergi kerja, Farid cium anak-anaknya. Jadi, apabila tiba-tiba tiada, memang terasa,” katanya.

Tambah Azhari, Farid masih belum pulang ke rumah untuk berjumpa dua anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

“Dia masih belum balik lagi. Saya tidak boleh hendak jawab panjang.

“Namun, Alhamdulillah, Farid sihat. Isu dengan isteri memang ada, tetapi, sekarang isunya dia tidak dapat berjumpa anak-anak.

“Anda semua tahu Farid dan anak-anaknya rapat. Dia sangat rapat dengan Muhammad dan Aurora.

“Jadi, apabila tidak boleh jumpa anak-anaknya, emosi Farid kadang-kadang agak terganggu. Namun, Farid kena kawal sebab sedang menjayakan penggambaran filem Gold,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Laporan media menyebut, alasan diberi pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

 

Kredit: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *