Muat naik gambar di Makkah, Farid rindukan anak-anak

KUALA LUMPUR: Pelakon Farid Kamil meluahkan kerinduan terhadap dua cahaya matanya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman Instagram.

Bintang utama filem Anwar, The Untold Story itu memuat naik dua video berasingan, seakan-akan menggambarkan rindu mendalam pada keluarganya.

Dalam video pertama, pelakon berusia 42 tahun itu berkongsi video ketika sekeluarga ke Tanah Suci Makkah, bulan lalu. Farid turut berkongsi gambarnya bersama anak-anak termasuk isterinya, Diana Danielle, 32.

“Rindunya pada mereka Ya Allah… Sampaikan pada mereka Ya Allah kerana aku tidak mampu,” tulis pelakon kelahiran Kedah itu.

Video berkenaan mendapat lebih 30 ribu tanda suka dan menerima lebih 300 komen peminat dan rakan selebriti.

Ramai meminta agar Farid bersabar dengan dugaan yang menimpanya. Tidak ketinggalan, adiknya Fadzil Zahari dilihat turut menitipkan ucapan buat abangnya.

“Allah bersama orang-orang yang sabar… moga dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.

Sementara itu, ramai berharap anak-anak pasangan itu tidak menjadi mangsa dalam kemelut rumah tangga berlaku antara Farid dan Diana.

Beberapa komen ditinggalkan, mereka berharap kasih sayang antara bapa dan anak tidak dipisahkan biar apa sekalipun kemelut berlaku antara pasangan berkenaan.

“Kenapa Diana menafikan hak Farid untuk berjumpa anak-anaknya? Apa sekali pun yang berlaku antara ibu bapa, tolong jangan babitkan anak-anak.

“Letakkan ego ke tepi demi kebaikan anak-anak. Tanpa kedua ibu-bapa, anak-anak tidak akan wujud dalam dunia ini.

“Kerosakan dan kesakitan sudah berlaku, tetapi jangan alihkan pada anak-anak,” tulis seorang pengikut.

 

Farid muat naik hantaran luah kerinduan terhadap anak-anak dalam laman IG. - Foto IG Farid Kamil
Farid muat naik hantaran luah kerinduan terhadap anak-anak dalam laman IG. – Foto IG Farid Kamil

Sementara itu, menerusi hantaran kedua, Farid optimis yang semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Alhamdulillah… Semuanya akan baik baik sahaja, insya-Allah.

“Ingatlah! Sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang ada di langit dan di bumi.

“Sesungguh janji Allah itu pasti, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui,” tulisnya.

Kemelut rumah tangga antara Farid dan Diana heboh diperkatakan, minggu lalu. Difahamkan Diana membuat permohonan cerai pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Alasan diberikan dalam permohonannya ialah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP), esok.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *