DUNIA sukan antarabangsa sekali lagi digemparkan dengan isu jantina apabila Presiden Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA), Umar Kremlev pada Khamis lalu, menuntut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melucutkan pingat emas peninju Algeria, Imane Khelif, selepas didapati atlet berkenaan tidak memenuhi kriteria sebagai seorang wanita.
Umar menyuarakan perkara ini dengan tegas sambil menyifatkan keputusan membenarkan Imane bertinju dengan atlet wanita sejati sebagai satu pengkhianatan dan menuntut IOC bukan sahaja menarik balik pingat, tetapi memohon maaf secara terbuka.
Imane memenangi pingat emas kategori welterweight (63 kilogram) Sukan Olimpik 2024 selepas menumpaskan wakil China, Yang Liu pada April tahun lalu. Namun, atlet itu disahkan tidak memiliki ciri-ciri biologi seorang wanita sejati. Kes ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan komuniti sukan dan masyarakat umum.
Mereka mempersoalkan tiadakah batas antara jantina dan keadilan, khususnya apabila ada individu keliru jantina bersaing dalam acara sukan membabitkan pertarungan secara fizikal seperti tinju.
Sebelum ini, pada Mac lalu, kes hampir serupa turut berlaku di Amerika Syarikat (AS). Ia membabitkan atlet lawan pedang wanita, Stephanie Turner dibatalkan daripada kejohanan berkenaan selepas enggan bertanding dengan lawan transgender atau lelaki bertukar menjadi wanita, Redmond Sullivan.
Sebagai tanda protes, Turner berlutut sebelum perlawanan bermula, membuka pelindung muka lalu pegawai membatalkan penyertaannya dalam pertandingan berkenaan, bukan kerana pandangannya terhadap lawannya, tetapi kerana enggan bertanding.
Begitulah nasib menimpa atlet wanita apabila mereka berdepan pencabar seorang ‘wanita jadian’. Ibarat ‘durian dengan mentimun’, menggolek ke durian akan cedera digolek durian pun luka’. Namun, disebabkan ketaasuban menjunjung prinsip hak asasi dan keadilan sesama manusia, aspek perbezaan jantina ini mahu dilunturkan begitu sahaja.
Apabila batas ini diganggu atas nama hak asasi atau identiti jantina, maka timbul kekeliruan dalam sistem sosial, keluarga dan kini dalam dunia sukan. Dunia moden hari ini menyaksikan pergeseran nilai moral semakin jauh daripada asas keagamaan dan fitrah manusia.
Pengiktirafan identiti jantina berdasarkan kehendak individu tanpa mengambil kira aspek biologi individu terbabit jelas sekali mencetuskan pelbagai ketidakadilan, termasuk dalam pertandingan sukan bagi kategori wanita. Malangnya, ada pihak terus menutup mata apabila berlaku pertembungan prinsip di antara hak asasi dan perbezaan biologi jantina ini.
Apabila seorang atlet yang asalnya bukan wanita sejati, tetapi bertanding dalam kategori wanita, ia bukan sahaja menjejaskan semangat kesukanan, malah meminggirkan peluang atlet wanita tulen bersaing dengan usaha dan kekuatan semula jadi mereka.
Perbezaan kudrat antara lelaki dan wanita diiktiraf dalam pelbagai aspek seperti emosi, fisiologi bahkan keupayaan fizikal. Bagaimanapun, amat tidak munasabah jika difikir secara logik bagaimana individu diketahui berlainan jantina boleh dibenarkan bertanding bersama dalam acara sukan kompetitif atau membabitkan pertarungan fizikal.
Apakah faktor yang menutup mata hati, naluri dan sifat peri kemanusiaan persatuan atau pegawai sukan apabila membenarkan seorang wanita sejati, bertarung dengan wanita jadian yang pada asasnya, fizikal dan kudratnya adalah seorang lelaki.
Tolak fitrah kejadian manusia
Ternyata, isu ini bukan menyentuh soal hak asasi dan persamaan gender lagi, sebaliknya menyerlahkan sikap dangkal segelintir manusia bermati-matian menolak fitrah kejadian manusia yang memiliki perbezaan, apatah lagi perbezaan jantina.
Isu ini sebenarnya membuka ruang muhasabah terhadap bagaimana kita menilai konsep hak, moral dan keadilan dalam dunia semakin kompleks. Jika dinilai dari sudut pandang kebebasan manusia, memang sesiapa sahaja berhak untuk menjadi apa yang dirinya inginkan.
Namun, jika ditapis dengan nilai moral, kemanusiaan dan agama, kebejatan dalam soal kesaksamaan gender ini boleh dielakkan, bahkan tidak akan mengorbankan nilai keadilan serta hak asasi manusia.
Dari sudut Islam khasnya, agama ini menekankan keseimbangan antara hak individu dan kesejahteraan masyarakat. Apabila fitrah diletakkan di tempat yang betul, dalam hal ini biologi dan kudrat berbeza antara lelaki serta wanita, maka keadilan sejati antara gender akan tercapai.
Dalam Islam, perbezaan antara lelaki dan wanita bukan sekadar berlandaskan fizikal, tetapi juga sebahagian daripada ketetapan fitrah dan takdir ciptaan Allah. Islam menetapkan garis panduan jelas dalam peranan, tanggungjawab dan batas hubungan antara jantina.
Islam juga mengajar umatnya berlaku adil. Namun, keadilan tidak bererti menyamaratakan semua perkara, terutama apabila ia bertentangan dengan hukum Tuhan.
Justeru, memberi tempat kepada atlet transgender dalam kategori wanita bukan sahaja tidak adil, malah menafikan hak wanita kerana kelebihan biologi dimiliki individu dilahirkan lelaki tidak akan terlawan wanita tulen.
Nampaknya, Presiden Donald Trump juga peka dengan isu ini apabila mengeluarkan Perintah Eksekutif Keeping Men Out of Women’s Sports, ditanda tangani pada 5 Februari lalu dengan menyatakan mana-mana sekolah atau institusi menerima dana persekutuan wajib melarang atlet transgender wanita menyertai acara sukan wanita.
Dalam konteks kehidupan manusia, tidak semua ‘transformasi’ pada batang tubuh itu dapat menjelmakan satu ciptaan lebih istimewa. ‘Ubah suai’ berlebihan hanya akan merosakkan sesuatu ciptaan Tuhan, bukan menjadikannya semakin menawan.
Penulis adalah Penolong Pengarang Rencana BH
Kredit : Berita Harian