KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan bahawa tidak mustahil untuk Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2030.
Jamal yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menjelaskan perkara itu boleh dicapai sekiranya pasukan negara meneruskan momentum terbaik termasuk berjaya layak ke Piala Asia 2027.
Beliau berkata, sokongan daripada semua pihak terutama penyokong juga amat diperlukan oleh pasukan Harimau Malaya dalam menjayakan misi untuk skuad negara beraksi di Piala Dunia buat kali pertama.
Justeru, katanya, peminat harus memberi sokongan padu terhadap usaha yang dilakukan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail termasuk dalam pengambilan pemain warisan yang dilihat memberi impak besar kepada Harimau Malaya.

“Ya, tidak mustahil, dengan keadaan sekarang tak mustahil lagi, tiada apa-apa yang mustahil. (Piala Dunia) 2030, lima tahun lagi, dengan momentum yang kita ada ini, kalau kita layak ke Piala Asia 2027, tiga tahun selepas itu sudah Piala Dunia.
“Jadi kita akan kuatkan pasukan kita lagi. Namun kita kena bagi sokongan yang kuat, janganlah dua hari lagi pasukan negara nak beraksi, seperti lawan Vietnam sebelum ini, baru 30,000 (tiket terjual). Kalau di Indonesia, seminggu sebelum perlawanan tiket sudah habis.
“Mereka (Indonesia) pun ada pemain warisan juga, tapi pemain warisan yang kita ada lagi bagus. Nak dapat (pemain warisan) berkualiti itu satu pencarian yang bukan mudah, orang ada kuasa dan hubungan yang luas seperti Tunku Mahkota Ismail saja boleh buat,” katanya.
Untuk rekod Malaysia terkandas di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 apabila menamatkan saingan Kumpulan D di kedudukan ketiga di belakang Oman dan Kyrgyzstan.
Harimau Malaya ketika ini berada pada landasan terbaik untuk merebut tiket ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi apabila mendahului kempen kelayakan dalam Kumpulan F dengan mengumpul enam mata selepas menewaskan Nepal (2-0) dan Vietnam (4-0) dalam dua aksi awal.
Skuad negara bagaimanapun masih perlu mengharungi baki empat lagi perlawanan berdepan Laos (dua kali), Nepal dan Vietnam dengan hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
Selain itu, Jamal berharap penyokong terutama netizen dapat memberi komen atau kritikan yang membina kepada pasukan negara bagi memastikan kejayaan terhadap usaha revolusi Harimau Malaya.
“Bagi sokongan 100 peratus kepada pasukan kebangsaan sebab nak buat revolusi seperti yang Tunku Mahkota Ismail buat untuk Harimau Malaya ini bukan mudah. Adakah kita boleh cari pemain di merata dunia jika tanpa usaha daripada Tunku Mahkota Ismail?.
“Saya sendiri pun tak sanggup. Jadi kita jangan hanya pandai cakap sahaja, cakap yang tiada fakta. Saya bercakap berdasarkan fakta, mana yang bagus saya akan cakap bagus. Janganlah jadi netizen atau peminat yang suka mengkritik dengan suka-suka.
“Kita kena gunakan akal dan hati yang mana biarlah benda yang kita komen itu betul-betul memberi impak yang baik serta membina buat pasukan negara,” katanya.
Kredit : Berita Harian