Permulaan impian JDT

KUALA LUMPUR: Kemenangan bergaya 4-0 ke atas pasukan di tangga kedua yang juga salah satu pencabar musim ini, Sabah FC menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat permulaaan sempurna dengan rekod bersih dalam enam perlawanan.

Skuad bimbingan Esteban Solari itu merakam permulaan begitu cemerlang apabila menang semua enam perlawanan untuk menghimpun 18 mata maksimum yang ditawarkan.

Bukan setakat menang semua enam aksi, mereka juga ‘mengganas’ apabila meledak 25 gol dan hanya melepaskan satu gol dalam tempoh lebih 540 minit – itupun menerusi sepakan penalti ketika berdepan Kelantan FC.

Dengan 25 gol itu juga, ia adalah jaringan terbanyak dihasilkan mereka dalam enam perlawanan pertama sekali gus mengatasi pencapaian 16 gol dilakukan pada musim 2019.

Rekod hanya dibolosi satu gol ini turut menjadi pencapaian terbaik pasukan kerana sebelum ini, pada musim 2018 menyaksikan mereka ‘membenarkan’ dua gol dalam enam perlawanan pertama.

Jadi pasukan manakah yang bakal mendapat ‘penghormatan’ untuk menjadi pasukan pertama merobek gawang skuad Harimau Selatan daripada permainan terbuka?

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama JDT menang semua enam perlawanan pertama sejak 2014 dan pencapaian itu sebenarnya memberi isyarat betapa mereka mahu meneruskan dominasi bola sepak tempatan untuk tempoh sedekad.

Sebelum ini, pencapaian terbaik mereka dalam enam perlawanan pertama adalah mengutip 16 mata menerusi lima kemenangan dan satu keputusan seri.

Mereka berjaya melakukan pencapaian itu dalam empat musim iaitu pada 2016, 2019, 2020 dan juga musim lalu dalam perjalanan mereka menjulang kejuaraan Liga Super.

Permulaan terburuk mereka dilakar pada 2014, musim di mana mereka menjulang trofi Liga Super buat julung kalinya apabila sekadar meraih 10 mata daripada enam perlawanan pertama.

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *