Wendy mahu tempah tiket ke Paris di Fukuoka

KUALA LUMPUR: Penerjun berpengalaman negara, Wendy Ng mahu mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 awal apabila beraksi di Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun Julai depan.

Bagaimanapun, atlet berusia 30 tahun itu sedar ia bukan tugas mudah apabila dia perlu menempatkan diri dalam kelompok 12 penerjun terbaik di Fukuoka untuk layak beraksi di Paris.

“Sudah tentu mahu melayakkan diri (ke Olimpik) lebih awal kerana ia akan memberi saya tempoh masa yang panjang selepas itu untuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik.

“Sebab itu, kami buat perancangan dan persiapan untuk tempoh yang agak panjang bagi menghadapi Kejohanan Dunia kali ini. Saya janji akan cuba menampilkan persembahan terbaik,” kata Wendy yang akan beraksi dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu.

Pemenang pingat perak Sukan Asia Jakarta 2018 dalam acara 3m papan anjal seirama itu, berkata dia juga berharap dapat disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) sekiranya berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.

Setakat ini, hanya dua penerjun yang berada dalam program RTG iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

“Sebagai atlet, sudah tentu saya mahu berada dalam program ini. Namun, saya sedar saya perlu buktikan kemampuan terlebih dahulu dan saya pasti akan buat yang terbaik di Kejohanan Dunia untuk layak ke Olimpik,” kata Wendy yang sudah tiga kali beraksi di pentas Olimpik.

Menurut Wendy, dia akan beraksi dalam saingan Piala Dunia FINA di Montreal, Kanada, bulan depan yang disifatkan sebagai kejohanan pemanas badan buat dirinya sebelum beraksi di Kejohanan Dunia.

“Di Kanada nanti, saya boleh tahu tahap prestasi semasa saya dan apa kelemahan yang saya perlu perbaiki sebelum saya ke Fukuoka,” katanya yang sebelum ini bergelut dengan masalah kecederaan bahu tetapi memberitahu ia sudah pulih.

 

Kredit : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *