KUALA LUMPUR: Daripada kelunakan suara Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam single Beraya Dengan Saya; telatah keluarga usahawan tersohor, Datuk Seri Aliff Shukri dalam video muzik Mama Papa Raya dan bait syahdu penuh emosi Dayang Nurfaizah dalam single Senyum Gugur Di Penghujung Doa, lagu bertemakan Hari Raya tahun ini ‘berlambak’ di pasaran.

Berbeza dengan Syawal tahun-tahun sebelumnya, peminat kali ini bagai ‘rambang mata’ memilih lagu raya, Namun, semestinya kuasa ‘viral’ menjadi penentu kejayaan sesebuah lagu yang turut terkait dengan kemampuan karya itu menjentik emosi pendengar melalui elemen nostalgia Aidilfitri dan keseronokan meraikan hari kemenangan.

Pesta lagu raya yang rancak dipromosikan sejak minggu pertama Ramadan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat serta pemerhati muzik tempatan. Sehubungan itu, timbul persoalan sama ada karya yang dihasilkan pembikin dan penyanyi terbabit sudah didaftarkan dengan badan berkepentingan dalam industri muzik atau sebaliknya.

Persoalan ini timbul berikutan mula dilihat ciptaan lagu raya boleh menjana satu lagi pendapatan kepada penggiat seni, apatah lagi, Malaysia dilihat mendahului negara di rantau nusantara yang aktif menghasilkan karya berkaitan sambutan Aidilfitri, sejak era 1960-an.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata bagi syarikat rakaman yang menjadi ahli persatuan itu, pendaftaran lagu dengan badan pengurusan hak cipta adalah perkara asas yang dilakukan.

Rosmin menjelaskan, pembikin lagu juga akan mendaftar dengan Public Performance Malaysia (PPM) bagi memastikan semua pihak yang terbabit dalam projek lagu itu, menerima imbuhan sewajarnya.

“Sebagai ahli RIM, mereka akan daftar lagu-lagu ini dengan PPM untuk mendapatkan pendapatan apabila lagu itu dipersembahkan di tempat awam. Jadi, untuk ahli RIM yang merangkumi syarikat rakaman, mereka akan daftar lagu berkenaan.

“Sebagai syarikat penerbitan yang mewakili penulis lagu raya, mereka juga akan mendaftar dengan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP). Penerbit dan penulis lagu yang mereka wakili juga akan mendapat pendapatan apabila lagu didaftarkan.

“Jadi, setiap kali ada lagu baharu dikeluarkan, syarikat rakaman dan syarikat penerbitan akan mendaftarkan karya terbabit untuk memastikan semua pemilik hak mendapat imbuhan daripada penerbitan lagu itu,” katanya kepada BH Online.

Rosmin berkata, pendaftaran hak cipta itu lazimnya menjadi langkah awal yang diambil syarikat rakaman dan penerbitan setiap kali karya baharu dihasilkan.

“Daripada segi pendaftaran itu tak menjadi isu. Ini perkara pertama yang dibuat syarikat rakaman termasuk syarikat penerbitan.

“Malah, mungkin penulis lagu yang tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat penerbitan pun, kalau mereka wakili diri sendiri, mereka juga tahu kepentingan untuk mendaftar lagu raya ni dengan badan berkenaan,” katanya.

Rosmin berkata, fungsi Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) adalah berbeza mengikut kategori pemilik hak cipta dalam industri muzik.

“PPM fungsinya sama seperti MACP, tetapi, PPM mewakili kepentingan syarikat rakaman dan hak rakaman. MACP pula mewakili kepentingan penulis lagu, penulis lirik dan syarikat penerbitan,” katanya.

Rosmin turut menjelaskan bahawa RIM berperanan sebagai persatuan yang menyokong pembangunan industri muzik manakala urusan kutipan dan agihan royalti diuruskan badan pengurusan kolektif.

“RIM lebih kepada persatuan, jadi tidak perlu mendaftar dengan RIM. Kita cuma anjur aktiviti pembangunan industri muzik.

“Tetapi untuk mendapatkan pendapatan, kena daftar dengan CMO seperti PPM, MACP dan Recording Performers Malaysia (RPM). RPM mewakili pemuzik dan artis.

“Jadi, semua penyanyi yang menyanyi lagu raya atau pemuzik yang terbabit dalam rakaman lagu raya, mereka juga mendaftar dengan RPM. Mereka juga pemilik, jadi semua akan mendapat pendapatan daripada lagu-lagu raya yang baharu ini.

“Apa yang penting mereka perlu berdaftar dengan badan berkenaan. Misalnya, pemuzik dan penyanyi dengan RPM, pemilik hak rakaman dengan PPM manakala penulis lagu, penulis lirik dan penerbit dengan MACP,” katanya.

Rosmin turut mengulas mengenai lambakan lagu raya yang mula dipromosikan lebih awal dalam platform digital dan media sosial.

Menurutnya, platform digital dan media sosial tidak seperti stesen radio yang mempunyai garis panduan tertentu. Malah, tambah Rosmin, kandungan dalam media sosial sukar dikawal kerana dihasilkan orang ramai.

“Untuk lagu raya yang disiarkan di media sosial atau YouTube, sebenarnya tiada garis panduan khusus seperti yang ditetapkan stesen radio. Bagi radio, Kementerian Komunikasi tetapkan syarat bahawa lagu raya hanya boleh diputarkan selepas memasuki 15 hari Ramadan.

“Namun, dalam media sosial, setakat ini tiada arahan atau garis panduan sedemikian. Agak sukar untuk mengawalnya kerana kandungan dihasilkan orang ramai. Jadi, sesiapa sahaja boleh memuat naik kandungan yang mempunyai elemen raya pada bila-bila masa.

“Sebab itu kita lihat ada juga kandungan berkaitan raya yang sudah muncul lebih awal, malah sebelum Ramadan bermula lagi,” jelasnya.

Sementara itu, data MACP menunjukkan beberapa lagu Hari Raya yang mendominasi dari segi kutipan royalti dan kekerapan persembahan sepanjang tahun 2025.

Antara lagu yang merekodkan kutipan royalti tertinggi ialah Alamak Raya Lagi nyanyian kumpulan De Fam dengan hak penerbitan dipegang oleh Faithful Publishing Sdn Bhd.

Ini diikuti lagu klasik Suasana Di Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina yang diterbitkan oleh EMI Music Publishing Malaysia Sdn Bhd serta Pejam Celik Hari Raya nyanyian Iman Troye yang diterbitkan oleh Raksasa Muzik Sdn Bhd.

Dalam kategori persembahan tertinggi pula, lagu Sesuci Lebaran nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencatatkan jumlah persembahan paling banyak, diikuti Suasana Di Hari Raya dan lagu Raya Raya Raya nyanyian kumpulan Dolla.

Bagaimanapun, MACP memaklumkan bayaran royalti persembahan diagihkan berdasarkan penggunaan lagu pada tahun sebelumnya, Sebahagian data bagi persembahan pada 2025 masih dalam proses pengagihan yang dijadualkan selesai pada 2026.

INFO

Top 10 Lagu Hari Raya 2026 mengikut carta YouTube

1. Jodoh Lebaran (Aisha Retno)

2. Senyum Gugur Di Penghujung Doa (Dayang Nurfaizah)

3. Raya Kira Jadi (Kitshafiq, Syeriena Marcella dan Masmera)

4. Bila Lagi Nak Jumpa (Faizal Tahir dan Senariounion)

5. Selamat Tahun Baru Raya! (Troye, Ammar Haikal, Hadie El Fardie dan Eznny)

6. Tung Tung Raya (Aliff Syukri dan Iman Troye)

7. Nak Balik Raya (Achey dan Keluarga)

8. Beraya Dengan Saya (Datuk Seri Siti Nurhaliza)

9. Bincang Raya (Amira Othman dan Irfan Haris)

10. Tak Sabar Nak Raya (Nabila Razali)

Kredit : Berita Harian

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *